BTS Media

Projek mega atau mega pembaziran? Rakyat mahu ketelusan tentang Kota Madani

PEMBANGKANG dilapor akan menyuarakan kebimbangan mengenai beban kewangan jangka panjang pembangunan projek bandar Kota Madani dalam sesi Dewan Rakyat akan datang pada 21 Julai.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata bahawa inisiatif yang dilancarkan oleh kerajaan di Putrajaya bulan lalu itu, perlu diteliti untuk mengelakkan kesan buruk kepada generasi akan datang, lapor Utusan Malaysia.

Hamzah mempersoalkan keperluan pembangunan berskala besar itu memandangkan keadaan semasa kewangan negara.

Beliau membandingkannya dengan projek perumahan kerajaan terdahulu yang tidak menimbulkan hutang jangka panjang, dan menegaskan bahawa kerajaan sekarang tidak seharusnya melancarkan projek mega yang akhirnya tidak mampu dibiayai, terutamanya kerana hutang negara telah melebihi RM1 trilion.

Menurut Hamzah, membina sebuah bandar lengkap semasa negara berdepan dengan kekangan kewangan berisiko nampaknya mengutamakan kepentingan jangka pendek berbanding kebajikan negara.

Hamzah juga menjawab gesaan yang mendesaknya supaya membentangkan usul tergempar di Parlimen mengenai pelantikan hakim, di tengah-tengah kritikan awam yang semakin meningkat.

Beliau menegaskan bahawa pelantikan kehakiman perlu mencerminkan keadilan dan ketelusan untuk memastikan integriti sistem perundangan.

Beliau tidak mahu ada persepsi bahawa sesiapa yang dilantik untuk menggantikan Ketua Hakim Negara dipilih sekadar memenuhi kepentingan Perdana Menteri.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan projek mega Kota Madani di Putrajaya bulan lalu.

Projek bernilai RM4 bilion di Presint19 berkeluasan 41.28 hektar itu akan dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) secara perkongsian awam-swasta. Ia akan menawarkan 10,000 unit kediaman menegak berketumpatan tinggi untuk menempatkan lebih 30,000 penduduk.

Fasa pertama projek ini dijadualkan bermula bulan September ini dan dijangka siap pada akhir tahun 2027.

-BTS Media

Leave a Comment