PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, secara unilateral telah mengisytiharkan “kemenangan bersejarah” ke atas Iran.
Beliau mendakwa Israel telah menggagalkan projek nuklear Iran dan akan terus bertindak tegas sekiranya Iran cuba membangunkannya semula.
Pengisytiharan penuh retorik ini menyusul selepas perjanjian gencatan senjata antara Iran dan Israel pada hari Selasa, yang menamatkan 12 hari pertempuran sengit.
Konflik itu memuncak selepas Presiden AS Donald Trump campur tangan dengan bom pemusnah bunker, yang beliau bangga mendakwa telah memusnahkan tapak nuklear utama Iran.
Bagaimanapun, laporan awal risikan AS yang diklasifikasikan dan bocor kepada media menyimpulkan bahawa serangan Amerika ini hanya melambatkan program nuklear Iran selama beberapa bulan. Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt, mengesahkan kesahihan laporan tersebut.
Sementara itu, Presiden Masoud Pezeshkian, berkata Iran kini bersedia untuk kembali berunding mengenai program nuklearnya sambil menegaskan hak negara itu untuk penggunaan tenaga atom bagi tujuan aman.
Walaupun terdapat pelanggaran awal gencatan senjata, kedua-dua pihak akhirnya bersetuju untuk mematuhi syarat-syarat perjianjian.
Konflik selama 12 hari itu merupakan fasa paling dahsyat antara Iran dan Israel dalam perang “dingin” yang berdekad lamanya.
Serangan Israel menyasarkan tapak nuklear dan ketenteraan, selain menyebabkan kematian saintis dan tokoh tentera kanan Iran, serta kerosakan pada beberapa bangunan kediaman di Tehran.
Serangan mengejut dan biadab Israel kemudian mendorong Iran melancarkan ratusan peluru berpandu ke arah Tel Aviv dan Haifa.
Konflik itu memuncak dengan serangan AS ke atas kemudahan nuklear bawah tanah Iran, diikuti tindak balas Iran yang menyasarkan kemudahan tentera AS terbesar di Timur Tengah, iaitu Pangkalan Al-Udeid di Qatar.
Komuniti antarabangsa masih mengambil pendirian berhati-hati terhadap gencatan senjata itu.
Arab Saudi dan Kesatuan Eropah mengalu-alukan pengumuman Trump, dan Rusia menyatakan harapan untuk gencatan senjata yang mampan. Namun, Presiden Perancis Emmanuel Macron memberi amaran tentang peningkatan risiko bahawa Iran mungkin secara rahsia cuba memperkaya uranium berikutan serangan ke atas tapak nuklearnya.
Berikutan gencatan senjata dengan Iran itu, komander tentera Israel Eyal Zamir, berkata tumpuan Israel kini beralih semula ke Gaza.
Ini mendorong seruan daripada pembangkang Israel supaya gencatan senjata dikuatkuasan semula Gaza.
-BTS Media