BTS Media

Tiga sekeluarga maut kemalangan: Jenazah Nurul Ain selamat dikebumikan

JENAZAH mangsa kemalangan maut, Nurul Ain Abdul Rahim, 39, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu Merah, Melor di sini, hari ini.

Allahyarhamah Nurul Ain adalah seorang daripada tiga sekeluarga terkorban dalam nahas membabitkan sebuah Perodua Myvi dinaiki mereka dengan bas ekspres di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Kampung Sungai Sam di sini, semalam.

Majlis pengebumian kira-kira jam 2.30 petang dihadiri ahli keluarga, sanak saudara dan penduduk kampung yang turut menunaikan solat jenazah di Masjid Al Mukminin, Kampung Jambu Merah.

Adik mangsa, Siti Zubaidah Abdul Rahim, 37, berkata beliau sekeluarga bersyukur kerana jenazah kakaknya selamat dikebumikan.

“Jenazah dua anak saudara yang juga pasangan suami isteri pula akan dibawa ke Johor untuk dikebumikan di sana, selepas perkara itu diputuskan hasil perbincangan keluarga.

“Kami semua reda dengan apa yang terjadi walaupun mungkin mengambil masa untuk menerima kenyataan ini kerana kehilangan tiga ahli keluarga sekali gus.

“Terima kasih kepada semua pihak yang bertanya khabar dan memberi sokongan moral kepada kami sekeluarga,” katanya yang juga anak kedua daripada empat beradik.

Semalam, media melaporkan Nurul Ain maut bersama anak tunggal, Nur Atikah Najihah Mohd Shah Penilzain, 18, dan menantu, Mohamad Faris Kamaludin, 24, apabila kereta dinaiki mereka bertembung sebuah bas ekspres di Kampung Sungai Sam.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/05/1402948/3-sekeluarga-maut-kemalangan-jenazah-nurul-ain-selamat-dikebumikan

Leave a Comment