SEORANG wanita India bersama bayinya yang ditemui dalam ketakutan di belakang rumah pengerusi surau Madrasatul Huda di Lorong Nyior Setali, Alor Setar merayu, “Saya takut…tolong jangan halau saya.”
Kejadian menyentuh hati itu tular selepas dikongsikan oleh Shamsul Anuar Aziz di TikTok.
Dia dan jemaah surau berjaya menenangkan wanita yang trauma itu dan membawanya ke surau.
Wanita itu menceritakan bahawa dia lari dari rumah kawan kerana tertekan dengan masalah kewangan, manakala suami dipenjara.
Susulan itu, atas dasar kemanusiaan, Shamsul Anuar dan jemaah segera membantu membeli keperluan bayi dan menolong menghubungi abang wanita itu di Pulau Pinang.
Mereka kemudian membelikan tiket tren terakhir untuk memastikan wanita dan bayinya selamat tiba di destinasi.
Shamsul Anuar yang bersyukur diberi peluang membantu tanpa mengira bangsa atau agama, menganggapnya sebagai ujian kemanusiaan.
-BTS Media