BTS Media

Sembilan anak sepasang doktor suami isteri terkorban dalam serangan Zionis di Khan Yunis, Gaza

SERANGAN terbaharu tentera Israel di Khan Yunis, Gaza telah membunuh sembilan anak sepasang doktor suami isteri.

Jurucakap media, Mahmud Bassal berkata susulan serangan tersebut didapati bahawa mayat-mayat kanak-kanak yang ditemui di rumah Dr. Hamdi al-Najjar dan isterinya Dr Alaa al-Najjar itu rentung, manakala seorang lagi anak mereka cedera parah.

Ketua pengarah kementerian kesihatan Gaza, Muneer Alboursh mengutuk serangan itu, dan berkata ia berlaku sejurus selepas Dr. Hamdi al-Najjar pulang ke rumah setelah menghantar isterinya bekerja.

Bassal juga berkata bahawa serangan Israel pada petang hari Sabtu telah membunuh sekurang-kurangnya 15 orang di seluruh Gaza, termasuk sepasang suami isteri dan dua anak kecil mereka di Khan Yunis serta lima orang akibat serangan dron ke atas sekumpulan penduduk yang menunggu bantuan.

Keganasan meningkat sejak Israel menyambung semula operasi pada 18 Mac, setelah menamatkan gencatan senjata selama dua bulan.

Kementerian kesihatan Gaza melaporkan bahawa angka kematian di wilayah tersebut sejak itu telah mencapai sekurang-kurangnya 3,747, justeru menjadikan jumlah keseluruhan perang kepada 53,901, kebanyakannya orang awam.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menyifatkan apa yang berlaku kali ini sebagai fasa “paling kejam” oleh tentera rejim Zionis.

-BTS Media

Leave a Comment