BTS Media

Kemasukan pelajar asing di Harvard University disekat: Impak terhadap pelajar Malaysia

PENTADBIRAN presiden Amerika Syarikat Donald Trump baru-baru ini membatalkan kebenaran Harvard University menerima pelajar antarabangsa.

Keputusan yang diumumkan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS ini dilihat sebagai satu hukuman kerana universiti terkemuka itu enggan mematuhi dasar-dasar pentadbiran.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri (DHS) Kristi Noem, memberikan alasan tindakan itu diambil keranan Harvard enggan menyerahkan rekod kelakuan pelajar asing yang diminta.

White House berkata bahawa kemasukan pelajar asing adalah satu keistimewaan, bukan hak, dan menuduh kepimpinan Harvard University memupuk persekitaran sentimen anti-Amerika dan anti-Yahudi.

Jurucakap White House Abigail Jackson berkata, oleh sebab itu, Harvard terpaksa menerima akibatnya kerana tidak menangani masalah tersebut secara lebih meluas.

Keputusan ini boleh menjejaskan ramai pelajar Harvard dari seluruh dunia, dan telah mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan.

Sebelum ini, amaran diberikan bahawa penamatan penerimaan pelajar asing boleh menjejaskan kehebatan akademik universiti tersebut.

Sejak beberapa bulan ini, universiti Harvard bergelut dengan White House, kerana pegawai Trump menuntut perubahan kepada program kampus, dasar, pengambilan pekerja, dan kemasukan bagi membanteras sentimen anti-Yahudi yang dilihat puak Zionis AS sebagai  sikap perkauman.

Walau bagaimanapun, pihak pengurusan Harvard berkata desakan oleh White House supaya dilakukan “audit” terhadap “pandangan” pelajar dan kakitangannya, dilihat sebagai melanggar dasar.

Harvard University adalah antara beberapa universiti AS yang menghadapi tuntutan serupa.

Memandangkan risiko kemerosotan imej elitis, universiti itu terpaksa mengecam pembatalan SEVP sebagai “tidak sah,” dan seterusnya mengesahkan komitmen untuk mengekalkan dasar kemasukan ke Harvard untuk menerima pelajar dan sarjana antarabangsa.

* Program Pelawat Pelajar dan Pertukaran (SEVP) ialah program dalam Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) A.S. yang menguruskan Sistem Maklumat Pelawat Pelajar dan Pertukaran (SEVIS). SEVP memastikan bahawa hanya pelajar asing yang sah dan pelawat pertukaran memasuki Amerika Syarikat dan institusi yang menerima mereka diperakui dan mematuhi peraturan persekutuan.

Sejak berpuluh tahun, Harvard University telah menerima masuk pelajar lebih dari 140 negara, dan dasar tersebut telah memperkayakan universiti, dan juga AS, amnya.

Jurucakap universiti, Jason Newton, berkata bahawa apa yang dilakukan oleh pentadbiran Trump mengundang bahaya serius kepada komuniti Harvard dan AS, serta menjejaskan misi akademik dan penyelidikan universiti itu.

Harvard mempunyai komuniti akademik yang besar, iaitu seramai 9,970 orang, dengan 6,793 pelajar antarabangsa mencatatkan 27.2% daripada pendaftarannya pada tahun akademik 2024-25.

Tahun lalu, Harvard menerima kritikan kerana cara menangani protes pro-Palestin sejak perang Israel-Hamas bermula.

Tindakan pengurusan universiti yang jelas berat sebelah, memihak kepada pelajar Yahudi (Zionis) dan menuduh bahawa sentimen antisemitik semakin berleluasa di kampus telah memaksa tindakan diambil ke atas kumpulan pelajar yang membantah tindakan biadab israel di bumi Palestin.

Sejak itu, Harvard telah melakukan beberapa perubahan, termasuk menukar nama Pejabat Kesaksamaan, Kepelbagaian, Kemasukan, dan Kekitaan kepada Kehidupan Komuniti dan Kampus.

Dalam satu surat, Noem menuduh universiti itu “mengekalkan persekitaran kampus tidak selamat yang memusuhi pelajar Yahudi, mempromosikan simpati pro-Hamas, dan menggunakan amalan ‘kepelbagaian, kesaksamaan, dan kemasukan’ yang bersifat perkauman,” tanpa menyebut pelajar Muslim atau Arab.

Pentadbiran Trump juga telah mengenakan langkah-langkah balas dendam teruk, termasuk membekukan $2.2 bilion dana persekutuan.

Tindakan itu dipertikaikan oleh Harvard di mahkamah.

Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri AS (IRS) pula dilapor sedang mempertimbangkan untuk membatalkan status bebas cukai Harvard.

Menurut Noem, tindakan ini “sepatutnya menjadi amaran kepada setiap universiti lain untuk bertindak,” menunjukkan niat pentadbiran, dan menjadikan Harvard sebagai contoh.

Pelajar dan kakitangan Harvard dilaporkan terkejut susulan pengumuman tersebut.

Seorang pelajar junior dari Austria, Karl Molden, menyuarakan kebimbangan tidak dibenarkan kembali ke kampus dan potensi kesukaran visa dan bantuan kewangan.

Dia berkata, dalam isu ini pelajar antarabangsa digunakan sebagai “bolasepak dalam pertarungan lebih besar antara demokrasi dan autoritarianisme.

Profesor ekonomi Harvard, Jason Furman, menyifatkan langkah itu sebagai “mengerikan,” memandangkan sumbangan tidak ternilai pelajar antarabangsa kepada sektor inovasi dan AS.

Duta Besar Australia ke AS, Kevin Rudd, mengakui kesukaran yang dialami pelajar Australia dan menawarkan nasihat konsular.

Cabang Profesor Universiti Amerika di Harvard turut mengutuk keras serangan tidak berperlembagaan pentadbiran Trump terhadap pelajar antarabangsa universiti itu.

-BTS Media

Leave a Comment