BTS Media

Remaja maut dirempuh lori buat pusingan-U di tempat tidak dibenarkan

SEORANG penunggang motosikal berusia 17 tahun maut selepas terlanggar sebuah lori yang membuat pusingan-U secara haram di Batu 12, Jalan Kapar berhampiran Jeram, Kuala Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 4.45 petang.

Beliau berkata kemalangan berlaku ketika remaja tersebut menunggang motosikalnya dari arah Kapar menghala ke Jeram, Kuala Selangor.

Siasatan mendapati, pada pukul 4.35 petang, sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan dari arah Kapar sedang membuat pusingan-U di lokasi kejadian. Penunggang motosikal yang datang dari belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kanan lori tersebut. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemeriksaan awal menunjukkan bahawa mangsa memiliki lesen L dan sedang dalam perjalanan pulang dari kursus memandu di Klang. Lokasi kejadian hanya membenarkan kenderaan ringan untuk membuat pusingan-U.

Pemandu lori berusia 44 tahun itu telah ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860 atau balai polis berhampiran.

-BTS Media

Leave a Comment