GAMBAR: Canarian Weekly
RIBUAN penduduk mengadakan bantahan di seluruh Kepulauan Canary, Sepanyol pada hari Ahad.
Mereka menuntut supaya pihak berkuasa mengehadkan ketibaan pelancong untuk mengurangkan masalah kos perumahan yang melambung tinggi, kesesakan lalu lintas, dan pelbagai perkhidmatan terbeban.
Penunjuk perasaan berarak di kepulauan itu dan juga di tanah besar Sepanyol dengan membawa sepanduk bertulis “Kepulauan Canary ada hadnya.”
Mereka menyuarakan kebimbangan mengenai kesan pelancongan terhadap bekalan air dan sumber lain yang menghimpit status kehidupan penduduk tempatan.
Pengurus hotel, Juan Francisco Galindo memberitahu Reuters bahawa “keruntuhan total” berlaku akibat pelancongan, sambil memberikan contoh peribadi mengenai tanah bapanya yang diambil alih untuk projek hotel mewah.
Dengan ketibaan lebih sejuta pelancong setiap bulan berbanding 2.2 juta penduduk tempatan, Kepulauan Canary menghadapi tekanan serius.
Galindo juga berkata bahawa jumlah katil hotel telah meningkat tiga kali ganda sejak tahun 1970-an, dan ini yang memburukkan lagi masalah infrastruktur.
Peguam, Sirlene Alonso mengkritik fokus pihak berkuasa tempatan yang terus membina lebih banyak perumahan dan bukannya mengehadkan jumlah pelancong.
Menurutnya, jumlah pelancong yang berkunjung ke kepulauan itu kini menyebabkan mereka terhimpit.
Memandangkan keadaan yang semakin meruncing, pihak berkuasa Kepulauan Canary, baru-baru ini telah menghantar satu delegasi ke Brussels untuk mendapatkan dana Kesatuan Eropah bagi penyelesaian perumahan mampu milik.
-BTS Media