SEORANG lelaki Orang Asli dari Kampung Chang Lama membidas Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, berhubung isu tanah pusaka mereka yang didakwa diceroboh oleh syarikat kuari Siong Emas Sdn Bhd.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Man Badai mengingatkan Saarani agar tidak merendahkan kemampuan masyarakat Orang Asli untuk berfikir dan membuat pertimbangan sendiri.
Teguran itu dibuat sebagai respons kepada kenyataan Saarani pada 23 April yang menggesa masyarakat Orang Asli di kawasan terbabit agar tidak mudah dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu yang didakwa mempunyai agenda tersendiri.
Mengulas dakwaan kegagalan pihak berkuasa negeri melindungi tanah pusaka Orang Asli, Saarani menafikan sebarang pencerobohan tanah dan menolak persoalan lawatan ke tapak tersebut dengan alasan penafian telah dibuat oleh jabatan negeri.
Man Badai menyuarakan rasa kecewanya terhadap tuduhan menteri besar yang mendakwa suara mereka timbul akibat hasutan dan dakyah pihak lain.
Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai satu penghinaan yang seolah-olah menafikan kemampuan mereka untuk menilai baik dan buruk.
“Kami bukan bersuara untuk pekan Bidor, Tapah atau Ipoh. Kami bersuara untuk tempat di mana kami telah tinggal sejak turun temurun,” tegasnya.
Dalam kenyataannya, Man turut mengingatkan Saarani bahawa masyarakat Orang Asli tidak pernah mengganggu ketenteraman warga kota.
Sebaliknya, beliau berkata kehidupan aman mereka sentiasa diganggu oleh pihak luar yang dikatakan bertamadun, sehingga mereka kini berdepan masalah untuk meneruskan kehidupan.
Beliau turut mempersoalkan naratif yang menganggap pendidikan tinggi sebagai pengganti keperluan tanah untuk hidup dan mencari rezeki di bandar.
“Tetapi kenapa semua orang luar ini beli tanah dan buat projek di atas tanah dan wilayah adat kami?” soalnya.
Beliau mencadangkan agar pihak luar menggunakan pendidikan dan kebijaksanaan mereka untuk membina kekayaan di bandar dan menjalankan projek seperti penternakan babi dan kuari di sana, dan bukannya di kawasan Orang Asli.
Selain itu, Man turut meluahkan kekecewaannya terhadap beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang didakwa gagal menunaikan janji-janji yang dibuat kepada masyarakat Orang Asli sejak tahun 2008.
Beliau menyebut nama-nama seperti exco kerajaan negeri Perak A Sivanesan, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran, dan bekas Ahli Parlimen PKR Low Gow Burne, sambil mengenang janji untuk merizabkan Kampung Chang Lama sebagai tanah rizab Orang Asli semasa sambutan Hari Komuniti Orang Asli Perak.
“Dan disebabkan percaya kepada janji ini lah setiap kali pilihan raya kami selalu membantu kempen supaya Pakatan Harapan menang,” katanya.
Beliau menambah, harapan mereka adalah agar janji tersebut ditunaikan apabila PH kembali menjadi kerajaan.
Man kemudiannya mempersoalkan keberadaan dan sikap senyap pemimpin-pemimpin PH tersebut yang kini memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri dan persekutuan.
“Di mana mereka, kenapa mereka senyap? Usahkan nak rizab tanah dan wilayah adat kami, nak bersuara membela kami bila masalah ini timbul pun tiada,” ujarnya.
Beliau turut menimbulkan persoalan sama ada mereka takut untuk bersuara kerana bimbang kehilangan jawatan.
-BTS Media