KETUA Menteri Jammu dan Kashmirm Omar Abdullah semalam (Isnin 28 Apr) berkata India seharusnya tidak bertindak mengasingkan penduduk Kashmir dalam usaha memburu militan yang bertanggungjawab atas kematian 26 orang pada minggu sebelumnya.
Pembunuhan beberapa orang pelancong pada 22 April oleh sekumpulan individu bersenjata yang dikatakan daripada pergerakan pejuang Islam telah membawa kepada tindakan keras oleh tentera India terhadap suspek di wilayah yang bergolak itu, termasuk merobohkan sembilan rumah disyaki milik keluarga penyerang.
India yang majoriti penduduknya beragama Hindu menyaksikan beberapa kejadian pemberontakan bersenjata selama beberapa dekad di Kashmir, walaupun sejak beberapa tahun kebelakangan keadaan agak terkawal.
Kashmir yang merupakan wilayah pergunungan indah dituntut sepenuhnya oleh India dan Pakistan, tetapi hanya ditadbir sebahagiannya oleh kedua-dua negara jiran itu.
Di Dewan Undangan Negeri, Omar Abdullah berkata pihak berkuasa tidak seharusnya mengambil tindakan yang hanya akan mencetuskan kemarahan dan menjauhkan rakyat.
Walaupun Abdullah tidak memberikan butiran lanjut, namun protes oleh penduduk Kashmir sepanjang minggu lalu jelas mencerminkan sentimen mereka membantah apa yang berlaku.
Beliau mempersoalkan mengapa tentera India perlu menghukum keluarga suspek dengan memusnahkan rumah mereka, walhal mereka tidak tahu pun di mana suspek berada mahupun kegiatan mereka.
Dua pegawai polis, yang enggan dinamakan memberitahu wartawan bahawa mereka hanya bertindak terhadap rumah yang didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan militan.
-BTS Media