KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata mereka telah melancarkan siasatan terhadap dakwaan ciplak melibatkan reka bentuk dan konsep Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka, Jepun.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MITI berkata pihaknya sedang mengesahkan semua fakta berkaitan dakwaan yang dibuat oleh seorang individu di media sosial.
Kementerian selanjutnya berkata tindakan undang-undang akan diambil “jika dan apabila perlu.”
MITI berkata, merek mengambil serius perkara ini dan menegaskan komitmen terhadap standard integriti dan pematuhan tertinggi dalam semua urusannya.
Dakwaan timbul selepas seorang pengguna media sosial, yang mewakili sebuah firma perunding kreatif, memuat naik post mengenai isu tersebut di Instagram.
Pengguna tersebut, yang menggunakan identiti Feythehuman, turut memuat naik beberapa gambar di akaun media sosial untuk menyokong dakwaannya.
Dia mendakwa bahawa kementerian telah melibatkan firma tersebut pada tahun 2022 untuk membangunkan konsep, tema, naratif, dan hala tuju seni bina bagi acara tersebut.
Dia juga mendakwa bahawa syarikatnya telah membentangkan cadangan kepada pihak berkepentingan dalam kementerian dan telah diyakinkan mengenai pelantikan rasmi.
Bagaimana pun, menurutnya pada bulan Februari 2023, syarikat tersebut dimaklumkan bahawa projek itu tidak akan diteruskan, dan pihak kementerian berhasrat untuk membuka tender.
Dia seterusnya menuduh pihak kementerian menciplak idea untuk dipadankan dengan hanya membuat beberapa perubahan kecil.
-BTS Media