BTS Media

Di sebalik kecomelan patung AI: Kos terhadap alam sekitar, data pengguna

KEGILAAN Internet terbaharu, yang sukar dielakkan di media sosial, melibatkan imej tokoh-tokoh terkenal, selain diri pengguna sendiri dihasilkan sebagai patung mainan plastik dengan prop yang berkaitan.  

Patung-patung yang kelihatan realistik ini dihasil menggunakan penjana imej ChatGPT dan telah tersebar dengan pantas di pelbagai platform, termasuk gambaran patung “mainan” menyerupai Lionel Messi dengan peralatan bola sepak dan karikatur Donald Trump memakai topi MAGA dan papan tanda tarif.  

Beberapa selebriti, seperti Brooke Shields, malah telah mencipta versi patung diri mereka sendiri.  

Walaupun umumnya dianggap menghiburkan, trend ini menimbulkan kebimbangan mengenai hak cipta dan potensi risiko berkaitan dengan memberikan data biometrik kepada syarikat AI generatif.  

Walaupun ChatGPT menawarkan penghasilan imej secara percuma, namun pengguna perlu mendaftar dengan platform pengimejan, yang menyumbang kepada keunggulan OpenAI dalam AI pengguna dan pengumpulannya terhadap data pengguna secara meluas. 

Pakar media sosial Anais Loubere mengaitkan populariti meme ini dengan “kejayaan teknologi” dalam penghasilan imej AI.  

Ini menyusuli trend sebelumnya bagi karya seni AI yang diilhamkan oleh Studio Ghibli, yang juga popular.  

Profesor pemasaran dalam talian Ahlem Abidi-Barthe berkata kejayaan trend ini terletak pada sifat peribadi mereka, yang menarik minat ego pengguna, dan hubungannya dengan nostalgia zaman kanak-kanak. 

Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, berkata berlaku peningkatan ketara dalam kalangan pengguna baharu apabila perkhidmatan pengimejan ditawarkan secara percuma.  

Analisis data menunjukkan bahawa ChatGPT sekarang merupakan aplikasi yang paling banyak dimuat turun baru-baru ini, mengatasi TikTok dan Instagram.  

Walau bagaimanapun, kalangan pelukis membantah penggunaan karya mereka tanpa            menyalurkan bayaran atau royalti oleh AI, seperti mana dilakukan oleh  OpenAI (Studio Ghibli). 

Beberapa syarikat AI generatif, termasuk OpenAI, kini berdepan tuntutan mahkamah kes pelanggaran hak cipta di Amerika Syarikat, walaupun setakat ini belum nampak keberkesanannya tindakan di sisi undang-undang, kerana syarikat-syarikat berkenaan tegas berkata bahawa mereka tidak melanggar undang-undang. 

Di penjuru lain, angkasawan Perancis Thomas Pesquet pula menekankan “kos terhadap alam sekitar” berkaitan dengan teknologi ini.  

Setiap penggunaan teks ChatGPT dikata menggunakan kadar tenaga elektrik lebih banyak daripada carian Google, dan penjanaan imej memerlukan jauh lebih banyak lagi.  

Pakar teknologi, Joe Davies memberi amaran kepada pengguna tentang risiko memuat naik foto dan data peribadi mereka ke penjana AI ini, kerana “imej tersebut adalah data, dan data mempunyai nilai.” 

Akhirnya, Loubere meramalkan bahawa kegilaan menjana imej meme patung aksi AI tidak mungkin bertahan lama, kerana trend sedemikian biasanya menjadi tepu dengan cepat. 

-BTS Media 

Leave a Comment