BTS Media

MetMalaysia jangka Monsun Timur Laut bermula hari Khamis ini

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan Monsun Timur Laut (MTL) akan mula melanda negara pada hari Khamis ini (13 Nov) dan berterusan sehingga bulan Mac tahun hadapan. Sepanjang tempoh tersebut, antara lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku.

Menurut Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, hujan lebat yang berlarutan boleh menyebabkan banjir, terutamanya di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

Beliau turut memaklumkan bahawa tiupan angin timur laut yang kuat sepanjang musim ini berpotensi menyebabkan keadaan laut bergelora serta peningkatan paras air laut di Laut China Selatan.

Orang ramai disarankan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga menghadapi kemungkinan hujan lebat sepanjang musim monsun.

MetMalaysia menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat terkini, ramalan dan amaran cuaca melalui laman web rasmi jabatan itu, aplikasi mudah alih myCuaca, saluran media sosial rasmi, atau dengan menghubungi talian hotline 1-300-22-1638.

-BTSMedia.my

Leave a Comment