TIGA jawatan menteri kini kosong, manakala satu lagi dijangka turut sama tidak lama lagi.
Keadaan ini sekali gus mencetuskan semula spekulasi mengenai kemungkinan rombakan Kabinet hujung tahun ini, malah, ada yang berpendapat Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) mungkin diadakan lebih awal.
Kementerian yang terlibat ialah Kementerian Ekonomi; Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar; Pembangunan Usahawan dan Koperasi; serta Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Kekosongan terbaharu berlaku selepas Ewon Benedick meletak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Ini berikutan perbezaan pandangan dengan Jabatan Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober mengenai hak Sabah terhadap 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip di negeri itu.
Perletakan jawatan beliau menyusul selepas Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad berundur daripada portfolio ekonomi dan sumber asli, masing-masing selepas tewas dalam pemilihan dalaman PKR pada bulan Mei lalu.
Sementara itu, tempoh penggal kedua Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dijangka tamat pada bulan Disember ini, namun beliau dikatakankan masih berhasrat untuk kekal aktif dalam politik.
Buat masa ini, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dan Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani masing-masing memangku tugas di Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli secara sementara.
Menurut laporan NST, tiga daripada empat portfolio tersebut sebelum ini dipegang oleh Pakatan Harapan dan dijangka kekal dalam kuota gabungan itu, manakala satu lagi dijangka ditentukan hasil perbincangan dengan Barisan Nasional.
Dalam kalangan PKR, beberapa nama disebut sebagai calon pengganti termasuk Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar serta Naib Presiden Aminuddin Harun, Amirudin Shari, dan R. Ramanan. Di Sabah, Presiden Kehormat Upko Madius Tangau turut disebut sebagai calon pengganti Ewon.
Bagi portfolio Tengku Zafrul pula, spekulasi tertumpu kepada bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Reezal Merican Naina Merican, yang kini mengetuai Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Bagaimanapun, beberapa pemimpin kerajaan menolak spekulasi mengenai rombakan Kabinet.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan bahawa “tiada keperluan mendesak” untuk berbuat demikian, sambil menekankan bahawa kerajaan perpaduan kekal stabil walaupun berlaku perubahan dalam kalangan menteri.
Johari Abdul Ghani memaklumkan bahawa “tiada sebarang perbincangan atau taklimat rasmi” mengenai rombakan, manakala Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata isu tersebut mungkin dibincangkan dalam taklimat yang dijadualkan esok.
Laporan NST menyebut bahawa khabar angin mengenai rombakan Kabinet telah mencetuskan semula perbincangan mengenai kemungkinan PRU16 diadakan lebih awal, mungkin bersama pilihan raya negeri akan datang di Melaka, Sarawak dan Johor.
Sumber memaklumkan bahawa kerajaan perpaduan sedang meneliti kemungkinan menyelaraskan tarikh pilihan raya persekutuan dan negeri memandangkan tiga Dewan Undangan Negeri tersebut dijangka dibubarkan antara bulan Disember 2026 hingga April 2027. Ia dilihat sebagai langkah lebih praktikal dari segi logistik.
— BTSMedia.my



