BTS Media

Microsoft umum AS$2.2b untuk Teknologi AI, pelaburan awan di Malaysia

MICROSOFT hari ini berkata syarikat itu akan melabur RM10.5 bilion bagi pembangunan kecerdasan buatan dan pengkomputeran awan di Malaysia untuk membantu membangunkan infrastruktur AI negara.

Ia diumumkan oleh Ketua eksekutif Micrososft, Satya Nadella yang dalam lawatan tiga negara ke Asia Tenggara (Indonesia, Thailand dan Malaysia).

Dalam satu kenyataan, beliau berkata Microsoft akan melabur jumlah tersebut dalam tempoh empat tahun akan datang untuk menyokong transformasi digital Malaysia.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semasa ucaptama di Kuala Lumpur itu, Satya berkata ia merupakan pelaburan tunggal terbesar dalam sejarah 32 tahun Microsoft di negara ini.

Beliau berkata, pelaburan tersebut akan membantu membina infrastruktur AI dan pengkomputeran awan di Malaysia, mewujudkan pusat kecemerlangan AI dan memberi latihan AI kepada seramai 200,000 rakyat negara ini.

Pengumuman itu menyusul selepas beliau  mengumumkan pelaburan AS$1.7 bilion di Indonesia dan wilayah pusat data pertama Thailand minggu ini untuk meningkatkan infrastruktur awan dan kecerdasan buatan di kedua-dua negara tersebut.

Pada 2021, di bawah pentadbiran perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Microsoft mengumumkan rancangan untuk menubuhkan wilayah pusat data pertamanya di Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif “Bersama Malaysia” untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang inklusif

-BTS Media

Leave a Comment