BTS Media

Anwar jumpa ketua junta Myanmar bukan langkah tepat, kata Saifuddin

PERTEMUAN dirancang antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing di Thailand hari ini bukan langkah tepat, kata bekas menteri luar Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata, sejak zamannya sebagai menteri, beliau tegaskan bahawa Malaysia dan Asean harus mengadakan libat urus dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC) Myanmar serta pihak berkepentingan awam negara.

“Pertemuan pengerusi Asean dengan jeneral junta bukan suatu langkah yang tepat, terutamanya (apabila) tidak disebut langsung penglibatan NUG, NUCC dan pihak berkepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

NUG dan NUCC membentuk kerajaan dalam buangan Myanmar, ditubuhkan selepas rampasan kuasa tentera 2021.

Saifuddin berkata, sejak dari awal rampasan kuasa di Myanmar sehingga zaman Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri, Malaysia konsisten tidak mengiktiraf junta, baik dalam hubungan dua hala mahupun pelbagai hala.

“Asean tidak undang ketua dan menteri junta ke sidang-sidang menteri. Hari ini, junta hanya kuasai kira-kira 30% (wilayah Myanmar). Mereka semakin lemah,” katanya.

“Kita tidak boleh benarkan junta menggunakan gempa bumi baru-baru ini untuk menormalkan hubungan antarabangsanya. Malah, bantuan yang dihantar ke sana juga telah dimanipulasi oleh mereka,” katanya.

Pada Isnin, Anwar berkata, beliau akan menggesa junta Myanmar melanjutkan gencatan senjata semasa, menyifatkan ia penting agar bantuan kemanusiaan sampai kepada mangsa gempa bumi baru-baru ini.

“Walaupun Asean kekal komited terhadap Konsensus Lima Perkara sebagai asas penglibatan dengan Myanmar, pertemuan ini diadakan semata-mata atas dasar kemanusiaan.

“Jemaah Menteri setuju untuk teruskan bantuan Malaysia (ke Myanmar), termasuk melalui hospital medan sementara dikendalikan oleh tentera,” katanya.

-FMT

Leave a Comment