BTS Media

AS mungkin tutup hampir 30 kedutaan, konsulat, fokus semula strategi luar negara

MENURUT dokumen dalaman Jabatan Negara Amerika Syarikat, pentadbiran Presiden Donald Trump sedang mempertimbangkan untuk menutup hampir 30 kedutaan dan konsulat di luar negara.

Ini dikatakan adalah sebahagian daripada perubahan besar perwakilann AS di luar negara.

Dokumen tersebut juga mencadangkan pengurangan misi diplomatik Amerika Syarikat di Somalia dan Iraq—dua negara penting bagi AS memerangi apa yang dianggapnya sebagai pusat keganasan.

AS juga akan “mengubah saiz” pos diplomatik lain, lapor CNN.

Perubahan itu dilaporkan berkuatkuassa di tengah-tengah rombakan besar-besaran yang dijangka berlaku terhadap sektor agensi diplomatik Amerika Syarikat, didorong oleh Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE)di bawah Elon Musk.

Umum maklum bahawa Musk antara peneraju bagi mengecilkan dengan drastik kerajaan persekutuan AS.

Setakat ini, belum jelas sama ada Setiausaha Negara AS Marco Rubio telah meluluskan apa yang dicadangkan itu.

Dokumen tersebut mencadangkan penutupan 10 kedutaan dan 17 konsulat.

Kebanyakan pos perwakilan berada di Eropah dan Afrika, walaupun terdapat juga yang berada di Asia dan Caribbean. Ini termasuk kedutaan di Malta, Luxembourg, Lesotho, Republik Congo, Republik Afrika Tengah dan Sudan Selatan.

Senarai itu juga termasuk lima konsulat di Perancis, dua di Jerman, dua di Bosnia dan Herzegovina, satu di United Kingdom, satu di Afrika Selatan dan satu di Korea Selatan.

Difahamkan bahawa tugas-tugas kedutaan yang ditutup akan diambil alih oleh pos-pos di negara-negara jiran.

Jurucakap Jabatan Negara, Tammy Bruce, enggan mengulas mengenai dokumen dalaman itu atau rancangan untuk mengurangkan secara drastik Jabatan Negara.

Beliau meminta wartawan menyemak dengan White House dan pejabat Trump sendiri.

Menurut Bruce, apa yang dilaporkan itu hanyalah sama ada laporan awal atau tidak benar sama sekali kerana ia dibocorkan dari sumber yang tidak diketahui.

Dalam pada itu, pihak pentadbiran hanya mengumumkan calon duta besar untuk dua daripada kedutaan yang dicadangkan ditutup—Malta dan Luxembourg.

Pada bulan Mac lalu, CNN melaporkan bahawa Jabatan Negara sedang dalam usaha untuk menutup beberapa konsulat yang disenaraikan dalam dokumen dalaman itu.

Bagi AS, kedutaan dan konsulatnya berfungsi sebagai pos penting untuk Jabatan Negara. Mereka menyediakan perkhidmatan seperti pemprosesan visa dan bantuan untuk warga Amerika.

Pos-pos itu juga mengumpul maklumat serta hasil risikan untuk dihantar ke Washington, DC, dan pegawai mengatakan bahawa mereka adalah alat diplomatik penting dalam strategi AS untuk berdepan dengan negara-negara seperti China. Kebanyakan konsulat tidak mempunyai tenaga kerja yang besar.

Untuk “mengubah saiz” yang dicadangkan, dokumen itu mencatatkan bahawa pejabat perwakilan AS di Jepun dan Kanada “boleh berfungsi sebagai model misi besar dengan menyepadukan sokongan konsulat ke dalam unit khusus”.

Ia mencadangkan “pos jejak ringan gaya FLEX dengan fokus dan kakitangan terhad” di beberapa negara, serta “kepimpinan dwi-peranan” di pos pelbagai misi, seperti Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan dan UNESCO di Paris.

-BTS Media

Leave a Comment