PARTI Sosialis Malaysia (PSM) enggan menerima penjelasan Timbalan Yang di-Pertua DUN Perak, Jenny Choy, yang mempertahankan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa yang dikaitkan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, Perak.
Memperli usaha Choy itu, calon PSM, Bawani KS menegaskan bahawa pengumuman Nga mengenai peruntukan sebanyak RM6,130,719 untuk 33 projek pembangunan dan infrastruktur di Tapah sepatutnya boleh dibuat pada masa lain.
Beliau mempersoalkan kenapa pengumuman itu dibuat ketika pilihan raya, lapor Malaysiakini.
Menurutnya, tidak boleh sewenang-wenangnya mengatakan ia bukan agenda politik dan dilakukan tanpa rancangan.
Bawani mendakwa bahawa tindakan tersebut secara terang-terangan memberi rasuah kepada rakyat.
Kerusi DUN Ayer Kuning, yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, pada 22 Februari lalu, terletak di dalam kawasan parlimen Tapah.
Sebelum itu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyifatkan tindakan Nga yang menggunakan kedudukannya sebagai menteri untuk menyalurkan projek di kawasan yang akan menghadapi PRK sebagai penggunaan sumber kerajaan secara tidak adil.
Choy pula mendakwa bahawa pengumuman projek itu adalah di bawah program Sentuhan Kasih yang telah berjalan sejak dua tahun lalu, dan bukan semata-mata disebabkan oleh PRK yang bermula pada hari tersebut.
Choy yang juga ADUN Canning berkata Nga sebelum ini telah membuat pengumuman serupa di kawasan lain yang tidak menghadapi PRK.
Bawani seterusnya menyifatkan tindakan Nga sebagai “tidak masuk akal” dan PH sepatutnya berasa malu kerana sentiasa mengkritik apa yang didakwa sebagai usaha membeli undi ketika gabungan itu menjadi pembangkang.
Beliau turut bertanya apa bezanya PH dan BN, sambil mengingatkan bahawa sebelum ini PH menuduh BN memberi “gula-gula pilihan raya” tetapi kini, apabila menjadi kerajaan, mereka melakukan perkara yang sama.
Pilihan raya Kecil Ayer Kuning akan berlangsung pada 26 April ini, dan pengundian awal pada 22 April.
Bawani yang merupakan timbalan setiausaha agung PSM berdepan dengan Yang di-Pertua PAS Tapah, Abdul Muhaimin Malek mewakili PN, dan Setiausaha UMNO Tapah, Yusri Bakir dari BN.
Kawasan DUN itu mempunyai seramai 31,897 pengundi berdaftar, yang terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan mereka.
-BTS Media