SEBUAH pertubuhan ibu tunggal mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penambahan barangan basah dan keperluan bayi di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Kuala Lumpur dan Selangor, Sheilla Tukimin, mencadangkan supaya penerima inisiatif tersebut dibenarkan menebus lampin pakai buang selain barangan seperti ikan, ayam, dan sayur-sayuran bagi memenuhi keperluan harian.
Menurut Sheilla, ia bertujuan untuk membantu tumbesaran kanak-kanak dari aspek penjagaan kebersihan dan juga bagi menggalakkan pemakanan sihat.
Sheilla berkata adalah lebih sesuai sekiranya kerajaan memperluaskan lagi jenis barang yang boleh ditebus kerana setiap keluarga mempunyai keperluan berbeza.
Beliau memberitahu FMT bahawa sekiranya barangan basah dibenarkan, ia akan membantu keluarga B40 dan M40 yang kebanyakannya memasak sendiri.
Di bawah SARA pada masa ini, penerima boleh membeli makanan asas seperti beras, roti, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, susu, serta barangan keperluan diri seperti sabun cecair mandian, tuala wanita, ubat yang diluluskan Kementerian Kesihatan, alat tulis, dan pakaian seragam sekolah.
Mulai 1 April lalu, SARA diperluas kepada 5.4 juta penerima.
Kementerian Kewangan juga telah menaikkan jumlah bantuan kepada RM2,100 setahun berbanding RM1,200 sebelum ini bagi isi rumah penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan e-kasih.
Untuk memudahkan penebusan barangan menggunakan MyKad, kerajaan juga telah menambah bilangan peruncit bagi program SARA kepada 3,500 berbanding 700 sebelum ini.
Selain SARA, kerajaan juga menyalurkan STR. Kedua-dua program ini melibatkan peruntukan sebanyak RM13 bilion menerusi Belanjawan 2025 untuk membantu meringankan beban golongan daripada pelbagai kategori.
-BTS Media