BTS Media

Laporan polis dibuat: Peniaga belon dakwa dianiaya ketika cari rezeki

PENIAGA belon, Muhamad Za’imuddin Azlan, telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi berhubung kecederaan yang dialaminya pada bulan Mac.

Dengan diiringi peguam Rafique Rashid dan ibunya Hasnah Mat Isa pada hari Ahad (6 April), dia menjelaskan apa yang berlaku.

Menurut Rafique mereka sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang apabila laporan perubatan penuh selesai nanti.

Rafique berkata pada masa ini mereka mempunyai nota discaj dari Hospital Serdang yang mengesahkan terdapat isu perubatan berkaitan kejadian tersebut.

Laporan perubatan penuh dijangka mengambil masa antara 40 hari hingga sebulan untuk disiapkan.

Rafique juga mempersoalkan kesahihan dakwaan bahawa Muhammad Za’imuddin mempunyai rekod jenayah lampau.

Ini berikutan laporan yang memetik sumber mengatakan peniaga belon itu mempunyai 13 rekod jenayah lampau, kebanyakannya berkaitan narkotik.

Peguam itu juga menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya mendengar penjelasan daripada peniaga tersebut sebelum membuat sebarang keputusan.

Baru-baru ini, dilaporkan bahawa dua daripada tiga kertas siasatan yang dibuka telah dirujuk kepada AGC.

Pegawai penguat kuasa DBKL telah membuat dua laporan, manakala satu lagi dibuat oleh ibu Muhammad Za’imuddin.

Sebelum ini, sebuah video tular menunjukkan pergelutan antara Muhamad Za’imuddin dan sekumpulan pegawai DBKL di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

DBKL kemudian menyatakan bahawa kejadian itu berlaku selepas penjual itu didakwa enggan bekerjasama dengan pegawai setelah diberi amaran sebanyak dua kali supaya jangan berjaja tanpa lesen.

Dalam video kemudian, peniaga itu menafikan dakwaan bahawa dia telah diberi amaran sebanyak tiga kali oleh pegawai penguat kuasa DBKL sebelum berlaku pergelutan.

Berikutan kejadian, DBKL berkata mereka akan menyemak semula prosedur dan menyiasat pergelutan antara pegawai penguat kuasanya dan penjual belon itu.

Menurut DBKL, pegawai-pegawai yang terbabit telah digantung tugas buat sementara waktu.

-BTS Media

Leave a Comment