PENGGUNAAN monosodium glutamat (MSG) sebagai penambah perisa dalam makanan sering kali menimbulkan pelbagai tanggapan buruk kerana kononnya membahayakan kesihatan.
Tanggapan yang telah lama wujud ini mendakwa MSG boleh menyebabkan masalah kesihatan serius seperti kanser, dan keguguran rambut.
Namun, berdasarkan data kajian saintifik serta pandangan daripada pakar-pakar dalam bidang berkaitan, didapati bahawa tidak wujud sebarang bukti kukuh yang dapat mengaitkan MSG sebagai penyebab langsung kepada kanser dan keguguran rambut.
Menurut laporan yang dipetik daripada Malaysiakini, Ketua Bahagian Pemasaran Digital Ajinomoto, Mohd Nazrin Badrol Hisham, menyangkal persepsi yang mengaitkan produk Ajinomoto dengan risiko kesihatan.
Beliau menegaskan bahawa penambah perisa makanan itu adalah selamat untuk digunakan.
Tambah beliau, punca sebenar berlaku keguguran rambut, mahupun kanser adalah disebabkan oleh pelbagai faktor lain, termasuk genetik.
Mohd Nazrin turut memaklumkan bahawa pihaknya telah memberikan penjelasan terperinci berserta fakta-fakta relevan bagi menjawab segala dakwaan yang timbul di laman sesawang rasmi Ajinomoto.
Beliau menegaskan bahawa perisa tambahan Ajinomoto adalah selamat untuk digunakan dalam masakan.
MSG, atau lebih dikenali sebagai Monosodium Glutamat Ajinomoto, dihasilkan melalui proses penapaian semula jadi yang berasal daripada sumber tumbuhan seperti tebu dan ubi kayu.
Bahan utama dalam MSG adalah glutamat, iaitu sejenis asid amino semula jadi yang memberikan rasa umami atau keenakan dalam makanan.
Rasa umami ini secara semula jadi terdapat dalam pelbagai jenis makanan seperti tomato, keju, cendawan, serta makanan kaya protein, termasuk daging, ayam, ikan, susu dan susu ibu.
Rasa umami merupakan salah satu daripada lima rasa asas selain manis, masin, masam, dan pahit, yang memberikan sensasi rasa seakan daging dan meningkatkan selera makan.
Selain itu, Ajinomoto MSG didapati mempunyai tahap sodium yang jauh lebih rendah, iaitu kira-kira 2/3 berbanding dengan garam biasa.
Dengan menggantikan sebahagian penggunaan garam dengan Ajinomoto, pengambilan sodium dalam makanan dapat dikurangkan sehingga 40%.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) turut mengeluarkan kenyataan di laman web mereka yang memberikan jaminan bahawa MSG adalah selamat untuk digunakan dalam makanan.
Lanjutan itu, badan-badan kawal selia dan saintifik dari pelbagai negara di seluruh dunia, termasuk Persatuan Perubatan Amerika (AMA), Jawatankuasa Saintifik Komuniti Eropah Untuk Makanan (SCF), dan Jawatankuasa Pakar Bersama FAO/WHO serta Aditif Makanan Bangsa-bangsa Bersatu (JECFA), telah melakukan kajian semula terhadap MSG dan mengesahkan bahawa ia selamat untuk digunakan.
Dengan penekanan yang diberikan kepada fakta-fakta saintifik, pihak Ajinomoto menyatakan komitmen mereka untuk terus memastikan pengguna merasa yakin dalam menggunakan MSG sebagai cara selamat dan berkesan untuk meningkatkan rasa dalam hidangan makanan.
-BTS Media