BEBERAPA bintang Hollywood, termasuk Joaquin Phoenix, Penelope Cruz, dan Richard Gere, mengkritik Akademi Seni dan Sains Perfileman Amerika (Academy of Motion Picture Arts and Sciences kerana gagal mempertahankan Hamdan Ballal, pengarah filem Palestin yang memenangi Oscar.
Ballal, pengarah bersama filem dokumentari No Other Land, sebelum ini diserang, dipukul, diseksa oleh peneroka Israel dan ditahan oleh tentera Israel di Tebing Barat.
Pihak Akademi pada mulanya berdiam diri tetapi kemudian mengeluarkan kenyataan yang mengecam tindakan menyerang atau menekan artis tanpa menyebut nama Ballal.
Lebih daripada 600 ahli Akademi menandatangani kenyataan berasingan yang mengecam serangan dan penahanan terhadap Ballal serta mengkritik respons Akademi yang lemah dan sambil lewa.
Susulan itu, pihak lembaga Akademi mengadakan mesyuarat tergempar untuk menangani isu tersebut.
“No Other Land” mengisahkan pemindahan secara paksa rakyat Palestin oleh tentera dan peneroka Israel di Masafer Yatta – sebuah kawasan yang diisytiharkan sebagai zon ketenteraan terhad oleh Israel pada tahun 1980-an.
Walaupun memenangi Oscar, filem ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pengedar utama di Amerika Syarikat, kerana industri berkenaan kuat dipengaruhi oleh sentimen rasis aparteid Zionis .
Selepas kejadian pada hari Isnin, Ballal memberitahu AFP bahawa “kekejaman” serangan itu “membuatkan saya berasa yakin ia berlaku kerana saya berjaya memenangi Oscar”.
Semasa ditahan di pusat ketenteraan Israel, Ballal berkata dia mendengar anggota tentera mengaitkan namanya bersama “Oscar”.
Dia dibebaskan pada hari Selasa, selepas ditahan sehari sebelumnya atas tuduhan “melontar batu”.
Yuval Abraham, yang juga pengarah bersama filem tersebut mengecam keras pendirian pihak Akademi – baik atas sikap berdiam diri pada mulanya, mahupun kenyataan yang dikeluarkan selepas itu.
“Selepas kecaman kami, pemimpin Akademi menghantar e-mel kepada semua ahli untuk menjelaskan sebab mereka berdiam diri mengenai serangan terhadap Hamdan. Mereka sekadar berkata ‘pandangan unik’ perlu dihormati,” katanya melalui ‘X’
-BTS Media