MENURUT jabatan bomba, lubang besar tersebut terbentuk di satu persimpangan di tenggara Seoul semasa waktu puncak sekitar pukul 6.30 malam pada hari Isnin.
Satu rakaman dashcam menunjukkan lubang itu muncul secara tiba-tiba di tengah jalan yang sibuk dan menelan sebuah motosikal. Sebuah pula kereta nyaris mengalami nasib yang sama, setelah tergelincir ke dalam lubang sebelum melantun keluar.
Jabatan bomba yang bergegas ke lokasi kejadian segera menjalankan operasi selama 17 jam untuk mencari penunggang motosikal itu dengan bantuan seekor anjing penyelamat.
Mangsa berjaya ditemui pada hari Selasa tidak berapa jauh dari garis tengah lubang benam itu,” kata Kim Chang-seop, seorang pegawai dari Balai Bomba Gangdong.
“Dia tertimbus pada kedalaman kira-kira tiga kaki, Â dan masih lengkap bertopi keledar dan but motosikal,” kata Kim.
Pemandu kereta yang terselamat pula hanya mengalami kecederaan ringan.
Lubang benam tersebut berukuran kira-kira 20 meter lebar dan 20 meter dalam, kata jabatan bomba.
Susulan kejadian itu, beberapa sekolah berdekatan ditutup pada hari Selasa sebagai langkah berjaga-jaga.
Punca berlaku lubang benam itu akan disiasat, tetapi setakat ini difahamkan bahawa kemalangan tersebut berlaku berhampiran tapak kerja projek lanjutan laluan tren metro.
Kemalangan lubang benam jarang berlaku di Korea Selatan, dengan kurang daripada 200 kes dilaporkan setiap tahun secara purata – jauh lebih rendah daripada jumlah yang direkodkan di negara jiran Jepun.
-BTS Media