GAMBAR: Ajansi Anadolu.
HARI Jumaat lalu, Hamas berkata mereka sedang meneliti cadangan Amerika Syarikat untuk memulihkan gencatan senjata di Gaza, sementara Israel pula dengan biadabnya meningkatkan operasi ketenteraan bagi menekan kumpulan Palestin tersebut membebaskan baki tebusan Israel.
Cadangan utusan khas Amerika Syarikat, Steve Witkoff minggu lalu, yang bertujuan melanjutkan gencatan senjata hingga bulan April, melangkaui Ramadan dan cuti keagamaan Yahudi, Paskah (Pesach), adalah bertujuan untuk memberi masa bagi rundingan mengenai gencatan senjata secara kekal.
Tiga hari selepas Israel secara biadab melanggar gencatan senjata yang telah berkuatkuasa selama dua bulan, menteri pertahanan Israel Katz, berkata bahawa tentera Zionis sedang meningkatkan serangan udara, darat, dan laut, dan juga akan menghalau semula orang awam ke bahagian selatan Gaza.
Katz dikatakan berkata Israel akan meneruskan kempennya sehingga Hamas membebaskan lebih ramai tebusan dan ditewaskan sepenuhnya.
Walaupun serangan udara Israel telah menyebabkan kemusnahan teruk pada Hamas minggu ini, selain membunuh seorang pemimpin kanan Gaza dan pegawai lain, sumber Palestin dan Israel berkata Hamas telah membuktikan bahawa mereka mampu bertahan dan meneruskan perjuangan.
Hamas masih mempertimbangkan cadangan Witkoff dan idea lain, dengan tujuan mencapai kesepakatan mengenai pembebasan tahanan, menamatkan perang, dan memastikan pengunduran tentera Israel sepenuhnya dari Semenanjung Gaza.
Seorang pegawai Palestin, yang tidak dinamakan memberitahu Reuters bahawa Mesir juga telah mengemukakan cadangan, tetapi Hamas belum memberi respons. Pegawai itu, bagaimana pun, Â enggan memberi butiran mengenai rancangan tersebut.
Dua sumber keselamatan Mesir yang dipetik media berkata Mesir telah mencadangkan penetapan garis masa untuk pembebasan baki tebusan bersama dengan tarikh akhir penarikan penuh Israel dari Gaza dengan jaminan AS.
Menurut sumber itu, AS telah memberi isyarat kelulusan awal, sementara respons Hamas dan Israel dijangka menyusul kemudian pada hari Jumaat.
Fasa pertama gencatan senjata berakhir pada awal bulan ini, tetapi Israel dan Hamas masih tidak dapat bersetuju mengenai syarat untuk melancarkan fasa kedua.
Selepas dua bulan ketenangan, penduduk Gaza sekali lagi terpaksa lari untuk menyelamatkan diri daripada serangan udara dan darat yang dilancarkan secara bertubi-tubi oleh tentera Israel. Israel juga telah menyekat penghantaran bantuan kepada penduduk Gaza.
Bagi Katz, semakin lama Hamas enggan membebaskan baki tebusan, semakin banyak wilayah yang akan hilang.
Daripada lebih 250 orang yang pada asalnya ditawan dalam serangan Hamas pada Oktober 2023 ke atas Israel, 59 masih berada di Gaza, 24 daripadanya dipercayai masih hidup.
Serangan udara Israel pada hari Selasa telah membunuh lebih 400 rakyat Palestin.
Pada hari Jumaat, lima orang termasuk tiga kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di daerah Tuffah di bahagian utara Gaza, sementara seorang wanita dan anak perempuannya terbunuh oleh tembakan kereta kebal di Abassan berhampiran Khan Younis.
Amerika Syarikat memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa Hamas yang patut dipersalahkan atas kematian itu sejak permusuhan tercetus semula.
Pemangku duta AS, Dorothy Shea, dengan sombongnya memberitahu majlis itu bahawa Hamas bertanggungjawab penuh atas perang yang sedang berlangsung di Gaza. Dia berkata kononnya setiap kematian boleh dielakkan jika Hamas menerima cadangan yang ditawarkan Amerika Syarikat pada hari Rabu lalu.
Agensi bantuan Palestin PBB UNRWA, yang menyediakan bantuan paling signifikan di Gaza, berkata mereka mempunyai stok tepung yang hanya cukup untuk diedarkan selama enam hari akan datang.
Keadaan kemanusiaan di Gaza dilapor amat membimbangkan, kata UNRWA.
Keadaan menjadi semakin meruncing kerana enam daripada 25 kedai roti yang disokong Program Makanan Dunia juga terpaksa ditutup.
Ini adalah tempoh paling lama sejak permulaan konflik pada bulan Oktober 2023 di mana tiada langsung bekalan dapat memasuki Gaza.
Sekatan Israel, yang telah menyebabkan harga bahan api dan makanan melonjak, memaksa ramai penduduk mencatu makanan.
Setakat ini, lebih daripada 49,000 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera Israel.
-BTS Media