DI CHINA, semua sekolah rendah dan menengah akan memperkenalkan kelas AI (kecerdasan buatan) akhir tahun ini, lapor media kerajaan pada hari Rabu.
Ini merupakan usaha terbaru China untuk mempercepatkan pembangunan AI dan memupuk bakat dalam sektor itu.
Industri AI China mendapat perhatian dunia tahun ini selepas DeepSeek mengeluarkan versi baharu chatbot AInya pada bulan Januari, dan seterusnya membuat kejutan merentasi pasaran global.
DeepSeek memukau penggiat industri dengan keupayaannya yang jelas untuk bukan sahaja menyaingi, malahan jauh mengatasi keupayaan pesaing Barat seperti ChatGPT dengan kos pembangunan yang begitu rendah.
Sekolah-sekolah di ibu negara China itu akan menawarkan sekurang-kurangnya lapan jam kelas AI setiap tahun akademik pada awal bulan September, kata agensi berita negeri Xinhua.
Semua sekolah boleh mengendalikannya sebagai kursus kendiri atau mengintegrasikannya dengan mata pelajaran, seperti teknologi maklumat atau sains.
“Kaedah pengajaran yang inovatif akan diperkenal, dengan menggunakan rakan AI, pembantu penyelidik AI, dan ejen pintar lain untuk memudahkan pembelajaran melalui kaedah dialog manusia-komputer,” kata kenyataan Suruhanjaya Pendidikan Perbandaran Beijing, bertarikh minggu lalu.
Beijing juga merancang untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama antara universiti dan sekolah menengah bagi memupuk bakat AI, katanya.
Ini termasuk membangunkan satu siri “kursus pendidikan AI lanjutan yang memberi tumpuan kepada pembangunan awal bakat inovatif cemerlang”.
Bulan lalu, perbincangan antara Presiden Xi Jinping dengan para taikun teknologi China telah meningkatkan keyakinan yang akan menyaksikan lebih banyak sokongan untuk sektor itu.
Xi telah juga telah bertindak mengukuhkan peranan perusahaan negara dalam ekonomi kedua terbesar di dunia dan membanteras perkembangan “tidak teratur” dalam beberapa industri.
Tumpuan kini adalah pada aplikasi pembantu AI (AI Assistant) China yang baharu, dengan harapan ia dapat menyaingi DeepSeek.
Gergasi teknologi China Alibaba minggu lalu melancarkan model AI QwQ-32B, yang dikatakan mempunyai “prestasi setanding” dengan DeepSeek, dengan penjimatan data untuk berfungsi lancar.
Selain itu, Manus, satu lagi ejen AI, Â semakin menarik perhatian di negara itu, dengan kemampuan dianggap lebih maju daripada chatbot.
-BTS Media