GAMBAR: Malaysiakini
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan 1MDB supaya membayar RM225,000 sebagai kos guaman kepada anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, Riza Abdul Aziz dan dua syarikatnya.
Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan petang ini membuat keputusan itu berikutan penarikan balik syarikat pelaburan negara baru-baru ini terhadap saman AS$248 juta terhadap penerbit Hollywood itu serta Red Granite Pictures Inc dan Red Granite Capital Limited.
Pada 24 Februari lalu, peguam 1MDB Rabindra S Nathan memberitahu mahkamah sivil arahannya adalah supaya menarik balik tuntutan saman bitu. Tiada alasan diberikan berhubung penarikan balik saman yang bertujuan untuk mendapatkan semula dana yang didakwa digelapkan daripada syarikat itu.
Peguam Riza, Muhammad Shafee Abdullah tidak membantah penarikan balik itu, dan hari ini ditetapkan untuk mendengar kos.
Prosiding 1MDB terhadap Riza, Red Granite Pictures dan Red Granite Capital bermula pada 16 Oktober tahun lepas.
Pada prosiding bulan lalu, Pengarah Operasi Khas SPRM Zamri Zainul Abidin memberi keterangan untuk Riza dan dua lagi defendan.
Zamri dilaporkan berkata bahawa Riza menerima pelepasan tidak berjumlah kepada pembebasan (DNAA) atas lima pertuduhan pengubahan wang haram untuk AS$248 juta yang sama.
Zamri turut memberi keterangan bahawa dalam representasi yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara, Riza dan peguamnya berkata mereka akan berusaha ke arah penyelesaian global bagi mendapatkan semula AS$248 juta.
Red Granite Pictures, yang diasaskan bersama oleh Riza dan penerbit Amerika Joey McFarland, telah menghasilkan filem yang memenangi Anugerah Akademi iaitu “The Wolf of Wall Street” lakonan Leonardo DiCaprio, dan filem lain.
Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan anak syarikatnya memfailkan saman terhadap Riza dan dua syarikatnya kerana kononnya menerima dana AS$248 juta yang diselewengkan daripada 1MDB, yang didakwa disalahgunakan untuk kepentingan peribadi termasuk dengan membiayai penerbitan filem dan membeli pelbagai hartanah.
Peguam Ignatius Joel Nathan mewakili plaintif 1MDB, manakala Tania Scivetti mewakili Riza dan dua syarikatnya.
Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/736647