BTS Media

Najib tak layak dikasihani – NGO

GAMBAR: Malaysiakini

SEMPENA ulang tahun pertama Najib Razak diberikan pengampunan sabitan rasuah menyelewengkan dana SRC International, empat NGO berkata bekas perdana menteri itu tidak layak menerima belas kasihan.

“Hari ini ulang tahun pertama Najib Razak diberi pengampunan,” kata kumpulan itu pada satu kenyataan bersama.

Mereka menegaskan pendirian menolak pengampunan atau sebarang bentuk kelonggaran hukuman terhadap Najib.

“Hari ini juga, kami, badan masyarakat sivil dan warga Malaysia secara tegasnya menyatakan bahawa kami benci rasuah dan Najib tidak layak untuk menerima belas ihsan – pengampunan atau tahanan rumah,” kata NGO berkenaan.

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA), Bersih, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), serta Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM), dengan sokongan 48 organisasi lain dan lebih 800 individu.

Kumpulan ini turut mengkritik keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman Najib sebanyak 50 peratus – dari 12 tahun penjara kepada 6 tahun – serta hukuman denda RM210 juta yang dikurangkan kepada RM50 juta (pengurangan sebanyak 76 peratus).

“Hari diskaun besar-besaran,” perli mereka.

Terdahulu, Malaysian Corruption Watch (MCW) pada satu kenyataan berasingan berkata Najib berhak diberi peluang menebus kesilapannya.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim, menggesa semua pihak menghormati proses berkaitan pengurangan hukuman dan menegaskan Najib harus diberikan peluang sama seperti individu lain.

“Walaupun kita berpegang teguh kepada usaha memerangi rasuah, kita juga mesti patuh dan menghormati keputusan yang dibuat oleh Raja, seperti yang termaktub dalam perlembagaan kita,” kata MCW.

Namun, empat NGO tersebut menolak keras pandangan ini dan menegaskan Najib masih berdepan perbicaraan lain berkaitan pecah amanah serta salah guna kuasa.

“Najib tidak pernah mengaku bersalah dalam mana-mana kes ini.

“Sebaliknya, dia berulang kali mendakwa dia mangsa penganiayaan politik dan dia menuntut pengampunan dan kelonggaran bagi hukuman yang sudah dijatuhkan oleh mahkamah untuk kes SRC International sementara tiga kes lainnya masih belum selesai.

“Sebarang keputusan untuk Najib diberi pengampunan atau tahanan rumah sebelum semua kes-kes terhadapnya selesai di mahkamah adalah satu tindakan yang mempromosi dan menormalisasi rasuah,” tegasnya.

Kumpulan tersebut turut memberi amaran tindakan pengampunan ini akan mewujudkan masyarakat dua darjat, dengan penjenayah besar diberi layanan istimewa berbanding rakyat biasa.

Tahanan rumah: Kuasa parlimen gubal

Empat NGO ini juga menegaskan sebarang undang-undang berkaitan tahanan rumah mesti dibuat secara telus melalui parlimen.

“Sebarang undang-undang untuk tahanan rumah mesti dibuat secara telus di parlimen, bukan melalui sebarang dokumen atau kaedah lain,” kata kenyataan itu lagi.

Mereka turut menuntut Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar untuk memfailkan semula pertuduhan baru terhadap Najib dalam kes International Petroleum Investment Company (IPIC) yang melibatkan dana RM6.6 bilion.

“Menteri Kewangan Anwar Ibrahim mesti membantu pihak pendakwaan mendapatkan akses kepada dokumen-dokumen yang diperlukan,” kata NGO berkenaan lagi.

Najib sebelum ini diberikan keputusan DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 November 2024, selepas pihak pendakwaan gagal mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Menurut pihak pendakwaan, dokumen-dokumen tersebut diklasifikasikan sebagai Rahsia Rasmi di bawah Kementerian Kewangan.

Pun begitu, NGO berkenaan berkata keadilan tidak boleh dikompromi dan sebarang tindakan membebaskan Najib sebelum semua kesnya selesai hanya akan merosakkan sistem keadilan negara.

“Jika Najib dilepaskan daripada sebarang akauntabiliti kerana kegagalan di pihak pendakwaan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan berkaitan pelantikan dan tempoh perkhidmatan Peguam Negara, serta ada kuasa untuk membatalkan klasifikasi mana-mana dokumen Rahsia Rasmi di bawah Kementerian Kewangan, harus menanggung sepenuhnya tanggung jawab politik,” tegas mereka.

Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/733133

Leave a Comment