BTS Media

Kereta dipandu melulu di Jalan Klang lama rempuh orang ramai, dua cedera

POLIS mengesahkan dua lelaki cedera selepas dirempuh kenderaan dipandu melulu di hadapan sebuah kelab malam di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, semalam.

Video kejadian tular di media sosial itu menunjukkan sebuah kereta jenis Toyota Hilux dan Vios dipandu melulu ke arah sekumpulan orang yang bertindak bertempiaran lari.

Dalam rakaman itu, beberapa orang dilihat dilanggar dua kenderaan terbabit yang kemudiannya berpatah balik dengan salah sebuah daripadanya melanggar pula motosikal diletakkan di tepi jalan.

Ketua Polis Brickfields Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian oleh seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun.

“Pengadu telah melihat dua kenderaan jenis Toyota Hilux dan Toyota Vios keluar dari bangunan tempat letak kereta dan dipandu secara melulu di hadapan Kelab Top Plus.

“Kenderaan itu melanggar sekumpulan lelaki mengakibatkan dua orang mengalami kecederaan. Seorang mangsa telah dihantar ke hospital menaiki ambulans,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kesemua mangsa belum membuat laporan polis dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu berkaita cubaan membunuh yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda, jika perbuatan itu menyebabkan cedera kepada mana-mana individu, maka pesalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Menurutnya, mereka yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2025/01/30/2-cedera-dilanggar-kereta-dipandu-melulu-di-jalan-klang-lama/

Leave a Comment