RAKYAT Malaysia antara warganegara dari 48 negara yang memerlukan Kebenaran Perjalanan Elektronik (ETA) untuk memasuki United Kingdom mulai hari Rabu (8 Jan).
“Rakyat Malaysia yang memasuki United Kingdom perlu mengemukakan Kebenaran Perjalanan Elektronik (ETA) mulai 8 Jan.
“Permohonan boleh dibuat mulai 27 Nov 2024,” menurut Kementerian Luar Negeri.
Menurut laman web kerajaan UK, negara lain yang memerlukan ETA termasuk Singapura, Jepun , Korea Selatan dan Amerika Syarikat.  Setiap permohonan ETA berharga £10 (RM56).
Setiap individu yang memasuki United Kingdom memerlukan ETA, termasuk bayi dan kanak-kanak.
Walau bagaimanapun, mereka yang mempunyai visa atau kebenaran untuk tinggal, bekerja atau belajar di United Kingdom tidak memerlukan ETA.
ETA merupakan kebenaran perjalanan awal diperlukan oleh warga asing yang berhasrat untuk melawat atau transit ke United Kingdom tanpa visa.
Sistem itu, sebagai sebahagian daripada Nationality and Borders Act 2022 (Akta Kewarganegaraan dan Sempadan 2022 UK), beroperasi menggunakan aplikasi dalam talian.
Maklumatnya disemak melalui pangkalan data keselamatan. Jika sistem tidak menemui maklumat negatif tentang pemohon, kebenaran perjalanan diberikan secara automatik.
-BTS Media