GAMBAR ATAS: kebakaran tayar yang berlaku di Kayu Madang baru-baru ini.
Laporan/Foto: Fauzrina Bulka / Merusin Minuddin
KOTA KINABALU, 25 Dis – Meninjau ke Pusat Pelupusan Kayu Madang yang terletak kira-kira 24 kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu itu disambut dengan bau yang kurang menyenangkan.
Dengan keluasan 8.9 hektar suasana di sana langsung tidak merasa sunyi, kerana selain daripada bunyi jentera Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang datang membuang sampah, ramai juga pengutip sampah yang datang untuk mencari rezeki di kawasan pelupusan tersebut.
Tapak pelupusan yang sudah bertahun digunakan untuk menampung sisa buangan dari beberapa bandar yang berhampiran kelihatan sesak membukit, dan sesekali ada juga puing-puing api serta asap yang naik ke udara dibawa angin hingga terhidu ke kawasan perumahan berhampiran.
Kedai-kedai makan yang terletak bersebelahan dahulunya sesekali beroperasi, kini tutup sepenuhnya. Ada yang bertukar tempat berniaga kerana aduan daripada pelanggan yang tidak selesa untuk menikmati makanan yang diselang selikan dengan bauan yang kurang enak.
Menurut Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Ts Mustapha Sakmud, Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Kayu Madang merupakan tempat pelupusan sampah bukan sahaja daripada Kota Kinabalu, tetapi juga meliputi Kota Marudu hingga ke daerah Papar.
“Kayu Madang sudah tidak sesuai untuk dijadikan tapak pelupusan dan seeloknya dipindahkan memandangkan Sepanggar kini sudah menjadi Zon Industri.
” Tapi ada beberapa idea dulu, ada grup yang berjumpa dengan saya dan berikan idea untuk buat insinerator iaitu satu teknologi olahan sisa yang melibatkan pembakaran bahan atau benda organik.
” Kaedah ini lebih mesra alam kerana sampah tidak masuk meresap ke dalam tanah. Sampah yang dibakar boleh dijana menjadi tenaga elektrik manakala sisa pembakaran dapat dijadikan baja atau tar jalan raya,”katanya.
Namun, menurut Mustapha apabila idea tersebut dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), ternyata ia belum sesuai untuk dilaksanakan ketika itu.
Ia kerana jumlah sampah yang di hantar ke Kayu Madang tidak mencukupi sebagai pulangan untuk menampung semula pelaburan yang telah dikeluarkan untuk pembinaan insinerator tersebut.
Namun menurutnya juga, mungkin idea tersebut boleh difikirkan semula dengan mengekalkan tapak pelupusan sampah di Kayu Madang tetapi kaedah pengurusannya diperbaharui berdasarkan teknologi-teknologi terkini.
“Pengurusan sampah juga perlu ditingkatkan dari segi kebersihan kerana ada komuniti sekitar yang bergantung kepada sampah sebagai punca rezeki.
“Pembakaran terbuka juga sekarang ini sudah tidak sesuai dan kaedah tersebut sudah lapuk apatah lagi kawasan sekitar Kayu Madang dikelilingi kawasan perumahan, institusi pengajian tinggi dan lot kedai makan,”katanya yang juga merupakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
Mustapha juga mengharapkan agar lebih banyak projek kitar semula yang bakal dihasilkan oleh pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau ingin mengambil idea seperti yang dilakukan di daerah Muar untuk mewujudkan sebuah makmal hidup.
Makmal Hidup berperanan untuk mengumpul semua inovasi yang telah dicipta di IPT dan kemudian dipraktikkan dalam komuniti.
“Contohnya, mereka ada sampah jerami daripada 700 ekar sawah padi yang boleh diinovasikan sebagai baja kompos dan juga kertas.
“Ia boleh juga dijadikan bahan komposit iaitu sejenis bahan untuk membuat perabot-perabot sekali gus mereka dapat menguruskan sampah tersebut dengan baik.
“Hasilnya, Muar sudah menjadi antara bandar yang terbersih di ASEAN. Jika dilihat Muar itu umpama Sepanggar dan mereka boleh berubah menjadi bandar terbersih dan juga pusat pelancongan.
“Inspirasi daripada itu, saya sudah bertemu dengan pelbagai IPT baru-baru ini dan mencadangkan agar Sepanggar kita jadikan sebuah konsortium Makmal Hidup seperti di Muar,” katanya bersemangat.
Namun begitu Mustapha berharap agar idea, impian dan perubahan yang ingin beliau bawa ini dapat direalisasikan dengan adanya bantuan dan kerjasama daripada semua pihak.
“Kalau di Kementerian Pendidikan Tinggi kita namakan ia Quadruple Helix Model di mana kita akan gabungkan antara akademik, kerajaan, industri dan komuniti untuk bersama-sama berganding bahu.
“Jika IPT mempunyai satu inovasi dan penyelidikan, tapi dengan adanya bantuan daripada Pihak Berkuasa Tempatan akan mampu melaksanakannya dan seterusnya panjangkan pula kepada industri.
” Jadinya tidak perlu mengharap sepenuhnya kepada kerajaan sahaja untuk mengurus semuanya. Kita akan bantu untuk dapatkan dana. Pastinya satu perjuangan yang panjang, tapi kita perlu mulakan,”ujar Mustapha.
Mustapha turut berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana meningkatkan bajet untuk TVET kepada RM7.5 bilion berbanding RM6.8 bilion sebelum ini.
Menurutnya juga, tidak semua generasi muda mampu untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti justeru TVET boleh menjadi tempat mereka bergantung harap.
“Kita akan pertingkatkan TVET untuk memenuhi pasaran semasa di samping mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing ke tahap paling minimum.
“Justeru kita perlu buat automasi, digitalisasi dan juga AI (Artificial Intelligence) supaya generasi muda ini boleh kita tempatkan.
“Kita ada empat universiti yang kita panggil Malaysia Technical University Network (M-TUN) di mana ia akan menjadi laluan kepada mana-mana pelajar TVET kita yang mempunyai diploma untuk masuk ke universiti ini.
“Kini TVET ialah game changer untuk negara ini. Kita kena pastikan bahawa pelajar-pelajar graduan kita ini memang kompetitif dan layak masuk ke jawatan-jawatan yang disediakan, “katanya.
Mustapha juga ingin agar generasi seterusnya dapat dijadikan generasi yang menawarkan pekerjaan dan bukanlah generasi yang mencari pekerjaan.
Dalam pada itu, Minat yang mendalam kepada inovasi dan kitar semula menjadi hala tuju buat seorang pensyarah Politeknik Kota Kinabalu, Ts Abdull Sulaiman Ismil bagi mencipta pelbagai projek setiap tahun.
Beliau yang bertugas di Jabatan Kejuruteraan Awam sudah menghasilkan hampir 20 produk berasaskan bahan semula jadi dan kitar semula sama ada secara individu atau bersama pelajar.
Menurutnya, beliau sering memberi pandangan kepada pelajar untuk menggunakan pelbagai bahan semula jadi terutama yang istimewa dan belum dikaji ada di Sabah.
Menariknya, ada beberapa produk yang telah dihasilkan berjaya dijual kepada syarikat besar dan idea yang diperoleh ada kalanya hanya secara spontan.
“Ada satu projek yang saya jual kepada sebuah syarikat di mana saya dapat idea membuat produk tersebut di sebuah majlis perkahwinan.
“Saya lihat petugas yang mencuci pinggan di majlis tersebut meletakkan batang pisang ke dalam besen yang besar, membuatkan saya tertanya-tanya sebabnya.
“Jawapan yang saya peroleh ialah batang pisang mempunyai sifat penyerapan minyak yang terbaik, maka kerja mencuci pinggan menjadi mudah.
“Di situlah saya mendapat idea untuk membuat satu produk yang berbentuk tablet dan telah pun berjaya menarik minat sebuah syarikat cari gali,” ujarnya.
Menurut Sulaiman, kos untuk membuat barangan dari bahan kitar semula sangat rendah, dan ada kalanya tidak memerlukan sebarang kos untuk dibuat.
Sebagai contoh Supik Tiles yang diusahakannya hanya berasaskan beg plastik yang dibuang.
“Saya dapat idea ini semasa saya pergi beriadah di Tanjung Lipat dan melihat banyak plastik sampah yang dibuang disana.
“Saya kemudiannya memikirkan satu idea yang ringkas dan sesiapa sahaja boleh hasilkan produk tersebut sendiri di rumah.
” Saya mula dengan mengasingkan plastik mengikut warna, bentuk ikut acuan yang disediakan sebelum membakarnya dengan suhu tertentu menggunakan oven di rumah,” jelasnya.
Tambah Sulaiman, ini antara projek yang paling mudah dilakukan dan mempunyai kesan yang besar kerana sepenuhnya menggunakan bahan kitar semula.
Namun begitu, banyak cabaran yang dihadapi bagi menggalakkan pelajar menghasilkan sesuatu projek ataupun masalah dalam industri itu sendiri.
Kata Sulaiman, masalah utama pelajar sekarang ialah kekurangan kemahiran perhubungan awam untuk berkomunikasi dengan masyarakat dan industri.
“Kecenderungan generasi sekarang yang lebih mengutamakan gajet menyebabkan pelajar sukar untuk keluar daripada zon selesa.
“Pada mereka, melaksanakan sesuatu projek hanya sekadar untuk memenuhi kriteria kursus dan mereka tidak berminat ke arah komersil dan bekerjasama dengan industri.
“Agak sukar juga melihat pelajar yang benar-benar berminat untuk membuat projek berasaskan barangan kitar semula atau bahan semula jadi.
‘Mereka beranggapan ia mesti menggunakan bahan organik, sedangkan tujuannya adalah projek yang dapat memelihara alam kita,’keluhnya.
Menurut Sulaiman dengan kreativiti sahaja, projek berasaskan bahan kitar semula ciptaannya pernah dijual sehingga RM50 ribu untuk pasaran luar negara.
Sulaiman juga sangat menyokong idea Mustapha untuk mewujudkan sebuah makmal hidup di Sepanggar bagi mengumpul projek-projek inovasi dari semua IPT.
“Mewujudkan Makmal Hidup memang memerlukan dana. Ia memerlukan satu komuniti yang menguruskan segalanya termasuklah geran-geran dan menjadi tumpuan industri untuk memilih projek inovasi.
“Ia juga boleh dijadikan tempat penyelesaian setiap permasalahan industri, contohnya sisa buangan seperti tongkol jagung yang boleh diinovasikan kepada sesuatu, pihak pengkaji boleh ke makmal hidup untuk dapatkan data material yang diperlukan.
“Di makmal hidup inilah nanti akan ada data lengkap industri, inovator, pengkaji, komuniti dan kaedah ini sangat memudahkan semua pihak dan saya sokong idea untuk membangunkannya.
“Mereka ada dana untuk patenkan barangan, serta ada dana untuk komersil dan untuk memasuki pasaran juga akan lebih mudah,” ujarnya.
Sulaiman juga berharap agar semua IPT memberi galakan kepada pelajar untuk membuat projek yang berkonsepkan kitar semula memandangkan kos yang digunakan juga sangat murah dan jelas amat mudah untuk didapati.
Sikap tidak peduli kepada kelestarian alam bukan sahaja satu kerugian kerana bahan kitar semula tersebut ada nilainya, tetapi turut memberi tekanan kepada hayat tapak pelupusan.
“Jika kita lihat di Kayu Madang, bukit-bukit sampah yang dibuang berlebihan hingga berbau busuk, alkali sangat tinggi kerana ia datang daripada bahan sisa domestik.
“Jika dari rumah kita suda mula belajar menginovasikannya, sudah pasti sampah akan menjadi kurang.
“Jadi ada baiknya bermula sekarang pelajar mengusahakan projek kitar semula dan kembangkan kepada IOT (Internet Of Things). Ia merupakan jalinan komunikasi antara benda melalui jaringan internet, kata Sulaiman.
Dia berharap jika projek ditambah nilai dengan unsur-unsur IOT, bukan sekadar di Sabah malahan Malaysia akan jadi sebuah negara platform bagi produk yang berunsurkan kitar semula suatu hari nanti.
-BTS Media