GAMBAR ATAS: Suasana Pemungut Sampah ketika mencari rezeki di Kayu Madang
Laporan/Foto: Fauzrina Bulka / Merusin Minuddin
KOTA KINABALU, 25 Dis – Sampah, mahu melewatinya sahaja sudah rasa kurang menyenangkan, apa lagi untuk menyentuhnya. Namun, tidak semua beranggapan begitu, kerana ada diantara kita yang melihatnya sebagai sumber rezeki.
Minyak masak terpakai, wayar lama, kepingan kaca ataupun botol kosong nampak biasa sahaja tetapi nilainya menjadi tinggi jika anda mampu mengubahnya menjadi produk jualan. Tetapi, bagaimana?
Pengusaha barangan terpakai, Emalia Rabin bersyukur kerana mendapat bantuan daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mengusahakan produk daripada barangan kitar semula dengan penganjuran beberapa kursus.
Produk yang dinamakan Citra Kasih diilhamkan oleh DBKK untuk produk kraf berupa aksesori wanita yang mereka hasilkan pada Julai lepas.
“Ini merupakan satu projek yang diberikan oleh DBKK kepada komuniti bagi
mengusahakan kraf tangan yang dihasilkan daripada bahan-bahan kitar semula yang sudah tidak digunakan.
“Ada bahan yang dibekalkan oleh DBKK mengikut keperluan kraf kami dan ada juga sampah orang yang kami pungut untuk dijadikan sesuatu yang boleh diinovasikan.
“Contohnya lilin yang kami hasilkan daripada minyak masak terpakai ini acuannya diperbuat daripada kaca yang telah dibuang kemudian di proses dan dihancurkan sehingga menjadi seperti pasir. Ia kemudiannya dicampur dengan simen dan dijadikan acuan kepada lilin,”jelas Emalia yang menetap di Kampung Kobuni.
Menurutnya, mereka juga menyediakan lilin beraroma seperti serai dan bunga jasmin yang sesuai digunakan di kamar mandi, bilik atau pejabat.
Apa yang menarik, kertas pembalut yang digunakan untuk membalut produk juga daripada kertas yang dibuang dan diproses semula.
“Kertas-kertas yang dibuang akan dicampur dengan batang pisang, kemudian dikisar dan diproses sehingga menjadi kertas semula.
“Tetapi uniknya kertas ini, dia mempunyai biji benih di dalamnya. Jadi, kalau kita sudah tidak perlukan kertas ini, bila dibuang ke pasu, dia akan tumbuh semula menjadi sayur sawi.
“Kalau kita letak benih bunga, ia akan tumbuh menjadi pokok bunga. Jadi maksudnya kertas ini sehingga dibuang, masih lagi boleh digunakan,”katanya.
Sebelum mengusahakan produk daripada bahan kitar semula, Emalia yang juga merupakan Ketua Komuniti Madani Kampung Kobuni memang sudah terlibat dengan aktiviti pelancongan.
Komunti Madani Kampung Kobuni merupakan sebuah badan sukarela yang ditadbir urus oleh Jabatan Penerangan Sabah.
Majoriti daripada pengusaha di komuniti mereka adalah wanita. Kebanyakannya membuat aktiviti pelancongan seperti rumah inap, tukang demo dan juga membuat bekalan katering.
“Namun yang paling ramai ialah yang pembuat kraf tangan. Jadi di sanalah tercetusnya idea untuk membuat perniagaan yang diperbuat daripada bahan kitar semula.
“Tambahan pula, kampung kami ini
telah diikiraf oleh DBKK sebagai Kampung Tanpa Sampah. Jadi sampah-sampah yang dibuang dan boleh dikitar semula, kami akan pungut dan gunakan semula untuk hasilkan kraf tangan,”ujarnya lagi.
Menurut Emalia, mereka juga sudah mula menerima tempahan secara pukal untuk majlis-majlis anjuran jabatan kerajaan dan juga persendirian.
Selain itu, mereka juga turut dijemput untuk menjadi tenaga pengajar dan jurulatih untuk komuniti lain di daerah Kota Kinabalu.
Namun begitu, mereka mengehadkan hanya 25 hingga 30 orang peserta sahaja untuk setiap sesi bagi memastikan ilmu yang ingin diberikan dapat difahami oleh semua peserta.
Emalia juga berharap semoga penglibatan daripada komuniti semakin bertambah demi untuk melestarikan alam semula jadi dan juga warisan agar terpelihara.
“Kami mengharapkan latihan dan bimbingan serta bantuan yang berterusan daripada kerajaan untuk menambahbaik produk yang sedia ada.
“Kami juga sangat mengharapkan penglibatan komuniti di luar sana untuk sama-sama buat aktiviti yang mampu menjana pendapatan dan membantu untuk menambah pendapatan isi rumah,”ujarnya.
Dalam pada itu, Amran Asit yang menjadikan sampah sebagai sumber pendapatannya sering kelihatan hampir setiap hari di Pusat Pelupusan Kayu Madang, yang terletak kira-kira 24 kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu.
Pemungut-pemungut sampah ini biasanya akan datang seawal 7.00 pagu hingga 5.00 petang menanti lori datang dan berebutkan sampah yang baru tiba.
Amran yang sudah 10 tahun bekerja sebagai pemungut sampah pada mulanya hanya datang sekadar suka-suka menemani kawannya mencari barangan kitar semula.
“Atas desakan hidup dengan dua orang anak yang masih kecil ketika itu dan memerlukan perbelanjaan yang banyak, saya mula berhenti kerja di sebuah kilang kerana merasakan pendapatan di sini lebih lumayan.
“Dalam sehari, saya boleh mendapat hasil jualan sebanyak RM100.00 dan adakalanya lebih jika terjumpa barangan kemas atau elektrik yang masih elok.
“Kadang-kadang saya simpan dan gunakan sendiri di rumah, dan ada juga yang saya jual sahaja kalau perlukannduit lebih,“kata Amran.
Beliau tidak pernah mempedulikan pandangan orang dengan bekerja sebagai pemungut sampah kerana yakin apa yang dilakukannya demi kelangsungan hidup dan tidak menyusahkan sesiapa.
Seorang lagi pemungut sampah, Dadong Salim, 37 berasal dari Gayang berkata beliau melakukan pekerjaan tersebut semenjak enam tahun yang lalu bersama isterinya.
“Barang-barang yang kami jumpa akan kami kumpul terlebih dahulu sebelum menyewa lori dengan kawan-kawan untuk dijual diluar.
“Simpanan seminggu adakala mencapai RM500 mengikut barang yang kami kumpul, kalau isteri tolong, pendapatan dapat lebih sedikit.
“Hasil itu cukup untuk kami empat beranak hidup sederhana, memandangkan ada anak kecil berusia setahun yang perlukan bekalan susu,”kata Dadong.
Beliau sangat berharap agar pihak DBKK tidak melarang dia dan pemungut sampah yang lain untuk mencari rezeki disitu kerana itu sahaja pilihannya untuk mencari rezeki.
Walaupun bauan yang busuk menyengat, tetapi mereka seakan sudah biasa dan langsung tidak terganggu demi mencari sesuap nasi.
-BTS Media