BTS Media

Bukan kami yang disiasat SPRM, kata dua anak Tun Mahathir

DUA anak lelaki bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mereka bukan yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Mirzan Mahathir berkata dalam satu kenyataan bersama pada hari Sabtu (27 April) bahawa notis yang diedarkan kepada mereka berdua  menyatakan bahawa mereka adalah “anak” kepada seseorang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 SPRM Akta 2009.

Mereka berkata, mereka faham bahawa siasatan adalah untuk menentukan sama ada bapa mereka menyalahgunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri untuk memperkayakan anak-anaknya.

Sehubungan itu, mereka akan menyangkal tuduhan tersebut dan membuktikan bahawa segala yang mereka peroleh selama ini adalah melalui cara yang sah, melalui saluran yang betul dan tanpa sebarang jenayah dilakukan.

Mereka juga menyambut baik lanjutan tempoh  lanjutan diberikan SPRM mengenai notis pengisytiharan yang pertama kali disampaikan pada bulan Januari di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

“Kami ingin merekodkan bahawa, bertentangan dengan laporan media, kami bukan subjek siasatan SPRM,” kata mereka.

Menurut Mokhzani dan Mirzan, mereka dikehendaki mengisytiharkan harta yang diperoleh sejak 43 tahun lalu.

“Disebabkan kekurangan maklumat dari setahun ke setahun, ia (tempoh) sangat membantu kami jika SPRM dapat menentukan tempoh yang paling penting bagi siasatan mereka.

“Ada yang menyindir bahawa sebab kami memerlukan lebih banyak masa adalah kerana jumlah kekayaan kami. Ini tidak benar sama sekali,” kata mereka.

Tambah mereka, kebanyakan dokumen sudah tiada, terutama daripada institusi kewangan, dan lebih-lebih lagi sektor awam.

Juga, dalam kenyataan itu, mereka berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri sendiri pun hanya menyimpan rekod yang mencukupi untuk tempoh tujuh tahun, begitu juga dengan Pendaftar Syarikat.

Namun demikian, mereka berkata mereka mencuba sedaya upaya untuk mengumpul dokumen berkenaan, walaupun ada yang hampir mustahil untuk diperoleh.

Menurut Dr Mahathir, berpandukan notis yang dihantar kepada anaknya, Mirzan, SPRM berkata beliau telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.

SPRM memberi tempoh 30 hari kepada Mirzan dan Mokhzani mulai Jumaat (26 April) untuk mengisytiharkan harta mereka kepada badan antirasuah itu.

-BTS Media

Leave a Comment