BTS Media

Rakyat Malaysia diperas ugut oleh polis di pesta muzik Jakarta, 18 anggota polis Indonesia ditahan

GAMBAR: Facebook DWP.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

POLIS Indonesia telah menahan 18 anggotanya yang disyaki terlibat dalam kes peras ugut terhadap penonton, termasuk rakyat Malaysia di pesta muzik Djakarta Warehouse Project (DWP) pada 15 Dis.

Kesemua yang terbabit terdiri daripada anggota pelbagai unit, termasuk Wilayah Metropolitan Jakarta Polis, Polis Metropolitan Jakarta Pusat dan Balai Polis Metropolitan Kemayoran, lapor Detik.com.

Menurut laporan, semasa pesta itu, seorang penonton warga Malaysia didakwa ditarik ke tepi dan pasportnya dirampas oleh beberapa anggota polis.

“Ketika itulah peras ugut berlaku, kerana rakan mangsa terpaksa menyerahkan sejumlah wang untuk mendapatkan semula pasport yang dirampas,” kata Ketua Biro Penerangan Awam Bahagian Perhubungan Masyarakat Polri, Brigedier Jeneral Polis Trunoyudo Wisnu Andiko pada hari Jumaat.

Kes itu memburukkan imej pasukan keselamatan Indonesia lebih-lebih lagi membabitkan pelancong warga asing, lapor Sinar Harian.

Siasatan sedang dijalankan oleh Profesi dan Pengamanan Kepolisian Negara Republik Indonesia (Propam) untuk menentukan tindakan tatatertib atau undang-undang yang sesuai terhadap pelaku.

Penganjur DWP sebelum ini dalam satu kenyataan berkata mereka kesal terhadap yang dialami oleh penonton.

“Walaupun aspek tertentu situasi berada di luar kawalan langsung kami, kami memahami sepenuhnya kesannya terhadap anda,” katanya dalam catatan Instagram pada hari Rabu (18 Dis).

Seorang pengguna, @zainal_rahman68 berkata dia telah menghadiri pesta itu selama lebih sedekad, tapi kali ini kejadian yang dialami seperti mimpi ngeri apabila mendakwa bilik hotel di mana dia menginap diserbu pada malam kedua pesta tersebut.

Warga Malaysia berkenaan dikatakan dibawa ke ibu pejabat polis dan kemudian dipaksa membayar sehingga 300 juta rupiah (kira-kira RM83,600).

-BTS Media

Leave a Comment