BTS Media

Hujan dijangka berterusan sehingga 16 Dis

BERDASARKAN analisis model cuaca terkini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hujan dijangka berterusan sehingga 16 Dis.

Melalui kenyataan akhbar hari ini (9 Dis), MetMalaysia berkata keadaan boleh menyebabkan hujan berterusan di bahagian timur dan utara Semenanjung Malaysia, serta di Sabah, sepanjang tempoh tersebut.

“MET Malaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Buruk & Waspada) yang melibatkan timur dan utara Semenanjung berkuat kuasa sehingga 11 Disember 2024.

Manakala, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 12 Disember 2024.”

Kenyataan itu menasihatkan orang awam supaya merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih.

Sebelum ini dilaporkan bahawa hujan lebat berterusan pada tahap teruk ‘oren’ dijangka menjejaskan beberapa daerah di Terengganu dan Pahang sehingga hari Rabu.

Amaran tahap ‘kuning” diramalkan untuk Perlis, Kelantan, dan beberapa daerah di Perak, Terengganu, Pahang, dan Johor.

-BTS Media

Leave a Comment