GAMBAR: Anadolu
PEMBERONTAK mengisytiharkan bahawa mereka telah menawan Damsyik dalam serangan kilat pada hari Ahad (8 Dis).
Presiden Bashar al-Assad juga dilaporkan telah melarikan diri, justeru menamatkan lima dekad pemerintahan parti Baath di Syria.
Wartawan melaporkan bahawa sejurus selepas berita tumbangnya kerajaan pemerintahan zalim Bashar tersebar, penduduk di ibu negara Syria itu kelihatan keluar ke jalan raya sambil bersorak gembira.
Pemberontak melepaskan tembakan ke udara, seperti lumrahnya sambutan kejayaan dalam kalangan pejuang Arab pada awal pagi, sambil menunjuk tanda kemenangan, melaungkan ‘Allahuakbar’ hingga ada yang menitiskan air mata.
Ada yang naik ke atas kereta kebal tersadai, manakala yang lain meruntuhkan patung bapa Assad, Hafez.
“Lama sudah kami menantikan saat ini,” kata mereka. “ Ini permulaan lembaran sejarah baharu untuk Syria.”
Dakwaan bahawa presiden Bashar telah melarikan diri juga dilaporkan oleh pemantau perang antarabangsa. Ia berlaku kurang dua minggu selepas kumpulan Islam Hayat Tahrir al-Sham (HTS) melancarkan kempen mencabar lebih lima dekad pemerintahan oleh keluarga Assad.
“Selepas 50 tahun penindasan di bawah pemerintahan Baath, dan 13 tahun melakukan jenayah, kezaliman dan pengusiran… kami mengumumkan hari ini berakhirnya zaman gelap dan permulaan era baharu untuk Syria,” kata puak pemberontak itu melalui Telegram.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Mohammed al-Jalali berkata beliau bersedia untuk bekerjasama dengan “mana-mana kepimpinan yang dipilih oleh rakyat Syria”.
Ketua Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman, memberitahu AFP: “Assad meninggalkan Syria melalui lapangan terbang antarabangsa Damsyik sebelum tentera menarik diri”.
HTS berkata pejuang mereka telah memecah masuk penjara di pinggir ibu negara, dan mengumumkan “berakhirnya era kezaliman di penjara Sednaya”, yang menjadi simbol dahsyat penyalahgunaan kuasa era pemerintahan keluarga Assad.
Perkembangan di Damsyik berlaku hanya beberapa jam selepas HTS berkata mereka telah menawan bandar strategik Homs, ketika mara ke ibu negara.
Kementerian pertahanan sebelum ini menafikan bahawa pemberontak telah memasuki Homs, dan sebaliknya berkata keadaan di bandar itu “selamat dan stabil”. Homs terletak kira-kira 140km dari ibu negara dan merupakan bandar besar ketiga yang dirampas oleh pihak pemberontak, yang memulakan kemaraan mereka pada 27 Nov, setelah menghidupkan semula perang selama bertahun-tahun.
Memantau peristiwa di Damsyik, kumpulan Observatory yang berpangkalan di Britain turut mengesahkan bahawa “pintu penjara ‘Sednaya’… telah dipecah untuk membebaskan beribu-ribu tahanan yang dipenjarakan oleh agensi rahsia rejim”.
Juga, sebelum ini kerajaan Bashar menafikan tentera telah berundur dari kawasan sekitar Damsyik.
Pemerintahannya selama bertahun-tahun dikatakan disokong oleh kumpulan Hizbullah Lubnan. Menurut sumber yang tidak dinamakan oleh agensi berita antarabangsa, pejuang Hizbulah di Damsyik telah “mengosongkan kedudukan mereka di sekitar bandaraya”.
Pada hari Ahad, komander puak Kurdish Hêzên Sûriya Demokratîk (SDF) disokong Amerika Syarikat yang menguasai kawasan timur laut Syria menyatakan bahawa ini adalah detik-detik “bersejarah”.
Memandangkan keadaan yang tidak menentu, Jordan telah menggesa semua rakyatnya meninggalkan negara jiran itu “secepat mungkin”, begitu juga dengan Amerika Syarikat dan Rusia, yang masing-masing mempunyai anggota tentera di Syria.
Sementara itu, sumber keselamatan Iraq memberitahu AFP bahawa Baghdad telah membuka sempadan Al-Qaim bagi membenarkan kemasukan lebih 2,000 tentera Syria yang “melarikan diri dari barisan hadapan”.
Pihak yang menyokog puak pemberontak berhasrat untuk menubuhkan sebuah negara Syria yang sekular.
-BTS Media