Oleh Yusoff A. Shariff
SYRIA pada hari Sabtu telah membatalkan akreditasi BBC atas dakwaan “laporan mengelirukan”.
Ia merupakan satu langkah yang jarang berlaku terhadap media antarabangsa di negara yang dilanda perang itu.
“Disebabkan oleh kegagalan penyiar untuk mematuhi piawaian profesional dan desakan untuk menyediakan laporan yang berat sebelah dan mengelirukan”, kementerian penerangan Syria memutuskan untuk “membatalkan akreditasi” “koresponden dan jurukamera” BBC, katanya dalam satu kenyataan.
Akreditasi wartawan BBC Radio di Syria juga dibatalkan, tambah kementerian itu. Setakat ini belum ada maklum balas segera daripada BBC, lapor AFP.
Kementerian Penerangan Syria mendakwa sejak berlaku konflik di Syria pada 2011, BBC “dari semasa ke semasa menyiarkan maklumat subjektif dan palsu serta laporan tentang realiti” di negara itu.
Konflik itu telah menyebabkan lebih 500,000 orang, berjuta-juta kehilangan tempat tinggal, banyak infrastruktur musnah dan merencatkan industri negara.
BBC telah diberi amaran “lebih daripada sekali” tetapi “terus menyiarkan laporan mengelirukan berdasarkan kenyataan… daripada entiti pengganas dan mereka yang memusuhi Syria”, tambah kementerian itu.
Pembatalan pentauliahan wakil media antarabangsa jarang berlaku di ibu negara Syria, Damascus di mana hanya segelintir media antarabangsa menempatkan koresponden.
Ramai wartawan asing telah meninggalkan negara itu apabila perang semakin meruncing.
-BTS Media