- SLOT takbir raya Perikatan Nasional selama lima minit yang dijadualkan untuk siaran di TV3 malam tadi dibatalkan.
Ketua Pemuda Armada Bersatu Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal membuat ciapan di Twitter mengenai perkara ini.
“TV3 batalkan walaupun kami dah bayar untuk siaran.
“Adalah tu yang mengarahkan,” dakwanya.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal lagi, siaran takbir raya itu dibatalkan pada saat terakhir.
“Jam 10:11 malam baru dimaklumkan melalui emel,” kata ahli parlimen Machang itu pada ciapan berikutnya di Twitter.
Mengikut jadual rancangan TV3 sebelum ini, terdapat tiga “takbir raya” sempena Aidilfitri – pada jam 9.20 malam, 10.25 malam dan 11.25 malam.
Petang tadi, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Saifuddin Abdullah berkata slot PN akan berlangsung pada 10.20 malam ini.
Ini mungkin kali pertama parti pembangkang mengadakan siaran “takbir raya” mereka di stesen televisyen nasional.
Menurut sumber, slot PN itu telah dibayar.
Sumber itu mendedahkan bahawa Kementerian Dalam Negeri akan mempunyai slot jam 9.20 malam dan Umno juga mempunyai slotnya sendiri juga.
TV3, yang dikendalikan oleh Media Prima Bhd, dimiliki secara persendirian oleh Media Mulia Sdn Bhd.
Malaysiakini sedang menghubungi Media Prima bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kesahihan perkara ini.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayshal berkongsi di media sosial hantaran video pendek rakaman persiapan slot takbir raya yang dikatakan untuk siaran saluran televisyen itu.
“Malam ini jam 10.20 malam di TV3 rakaman takbir raya Perikatan Nasional.
“Sedap suara Abah (Muhyiddin Yassin) dan Ustaz Idris (Ahmad),” katanya.
Malaysiakini