BTS Media

Pengasas Maxis, Astro Ananda Krishnan meninggal dunia

BILIONAIR Ananda Krishnan meninggal dunia pada hari Khamis (28 Nov) pada usia 86 tahun.

Beliau yang dianggarkan bernilai RM25.7 bilion, sering disenaraikan sebagai tokoh korporat terkaya oleh majalah antarabangsa Forbes.

Di Malaysia, Ananda menduduki tempat ketiga individu terkaya.

Ananda mengasaskan syarikat rangkaian telekomunikasi mudah alih kedua terbesar di Malaysia, Maxis Bhd, serta syarikat penyiaran dan media Astro Malaysia Holdings Bhd.

Tokoh yang berprofil rendah ini juga pengasas dan pengerusi Usaha Tegas, serta pengasas Yayasan Yu Cai.

Anak kepada seorang penjawat awam berketurunan Tamil Sri Lanka, beliau belajar di Vivekananda Tamil School di Brickfields, Kuala Lumpur dan kemudiannya di Victoria Institution, Kuala Lumpur.

Beliau kemudian menuntut di Universiti Melbourne, Australia dan mendapat ijazah sarjana muda sains politik di bawah tajaan Rancangan Colombo. Beliau juga memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Harvard Business School, Amerika Syarikat dan menamatkan pengajian pada tahun 1964.

Ananda mempunyai tiga orang anak, termasuk anak lelaki tunggalnya, Ven Ajahn Siripanyo yang merupakan seorang sami Buddha.

-BTS Media

Leave a Comment