ARAU: Pengerusi Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Exco kerajaan negeri.
ADUN Kuala Perlis dan ADUN Bersatu Sena Marzita Mansor adalah antara tiga wakil rakyat Perikatan Nasional yang mengangkat sumpah di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau hari ini.
Adun ketiga yang menyertai barisan Exco negeri ialah ADUN Pas Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim.
Rombakan kabinet negeri terbaru menyaksikan dua ADUN Bersatu Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Megat Hashirat Hassan (Pauh) digugurkan daripada barisan.
Zikri memegang portfolio belia dan sukan, pembangunan industri kecil dan sederhana, keusahawanan dan pemerkasaan ekonomi kreatif, manakala Hashirat menyelia portfolio kesihatan, kebajikan dan pengurusan bencana, sains, teknologi, inovasi dan teknologi hijau, alam sekitar dan perpaduan.
Dalam titah baginda, Tuanku Syed Sirajuddin mengingatkan anggota Exco supaya menggandakan usaha dalam mempercepatkan pembangunan negeri yang dilihat ketinggalan berbanding negeri lain.
“Ahli Exco yang ada sekarang mesti bekerja lebih keras untuk membawa pembangunan kepada negeri yang dilihat lembap berbanding yang lain. Ini tidak boleh diterima, kerana Perlis sebuah negeri kecil, dan ahli majlis kerajaan negeri perlu berusaha untuk membawa kemajuan bagi kesejahteraan rakyat,” titahnya.
-BTS Media