Oleh Zainal AS Rashid
KEADAAN yang didakwa tegang antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Perikatan Nasional (PN) Kedah berhubung pelantikan jawatan Exco kerajaan negeri sebenarnya tidak berlaku.
Ketua BERSATU Kedah Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata parti itu akur dengan bilangan jawatan Exco negeri berbanding penggal sebelumnya dan tiada lagi pertikaian, lapor FMT malam tadi.
“Semuanya baik-baik saja. Semua Exco (dilantik) telah mengangkat sumpah,” katanya selepas tiga ADUN Bersatu mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah Sallehuddin Badlishah semalam.
Wakil BERSATU yang mengangkat sumpah ialah, ADUN Bukit Kayu Hitam Halimaton Shaadiah Saad, ADUN Suka Menanti Dwozahir Ab Ghani dan ADUN Kubang Rotan Salleh Saidin.
Sebelum ini, Berita Harian melaporkan sumber yang tidak dinamakan mendakwa kononnya pemimpin BERSATU Kedah tidak berpuas hati kerana mendapat hanya tiga jawatan Exco kerajaan negeri berbanding lima ketika penggal pertama Sanusi sebagai menteri besar.
Dalam barisan Exco Kedah yang baharu, PAS mendapat portfolio paling banyak, iaitu tujuh jawatan, termasuk Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Gerakan yang memenangi satu-satunya kerusi di Kulim mendapat satu jawatan Exco.
Ketua Pemuda BERSATU Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pelantikan setiap Exco negeri bagi negeri-negeri yang dikuasai PN dilakukan secara konsensus semua parti komponen. Beliau menafikan kononnya pemimpin BERSATU Kedah tidak berpuas hati dengan hanya diberikan tiga jawatan Exco.
Pada pilihan raya Kedah 12 Ogos lalu, PN membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh 33 daripada 36 kerusi DUN.
PAS mendominasi pilihan raya negeri dengan 22 kerusi, manakala Bersatu memenangi 10 dan Gerakan satu.
-BTS Media