YANG dibangkit dan gembar-gemburkan oleh UMNO kononnya presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin tidak sensitif tentang keadaan rakyat apabila meminta jawatan timbalan menteri diberikan kepada Bersatu hanyalah modal politik pihak lawan.
Bersatu menjelaskan bahawa perbincangan jawatan timbalan perdana menteri yang dibuat antara Muhyiddin dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, bukan sesuatu yang baharu.
Jawatan itu adalah perjanjian antara Perikatan Nasional (PN) dengan Ismail sebelum beliau dilantik menjadi perdana menteri.
“Jadi ada perjanjian (dan) dalam perjanjian itu mengandungi terma dipersetujui kedua-dua pihak yang mewakili identiti masing-masing. Ini bukan permintaan baru tetapi perjanjian yang belum dipenuhi,” kata ketua penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan baru-baru ini.
Ahad lalu, Muhyiddin berkata, beliau bertemu Ismail minggu lepas untuk membincangkan pelantikan dalam Jemaah Menteri, termasuk jawatan timbalan perdana menteri yang menurutnya berkait perjanjian PN dengan perdana menteri.
Apa pun, terserah kepada Ismail untuk menentukan jawatan yang dibincang dengan Muhyiddin kerana ia merupakan hak perdana menteri.
Bersatu akan melihat dan menilai sama ada perjanjian itu akan ditunaikan Ismail atau tidak.
Menurut Wan Saiful, banyak lantikan disandang Bersatu dan PAS yang sepatutnya dikekalkan ketika Ismail menjadi perdana menteri tidak dikekalkan
“Saya faham ada pelbagai cabaran (tetapi) cabaran kena selesaikan. Sebab janji tetap janji,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Wan Saiful menasihatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi tidak mencampuri urusan pelantikan timbalan perdana menteri oleh Ismail.
Beliau juga enggan melayan dakwaan dibuat Puad yang menyatakan bahawa Muhyiddin menamakan Ahmad Faizal Azumu sebagai timbalan perdana menteri.
“Puad tak payah sibuk. Jadi saya punya pandangan, kita tak payah layan sangatlah. Saya punya cadangan kepada Puad tumpu tugas sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Johor yang beliau dapat hasil mengampu sekian lama,” katanya.
Wan Saiful juga berkata, perbincangan jawatan timbalan perdana menteri bukan “level” Puad, sebaliknya perbincangan itu membabitkan perdana menteri dengan bekas perdana menteri.
-BTS Media