BTS Media

Feri Pulau Pinang rugi RM14 juta setahun akibat harga diesel tinggi

GAMBAR: MMC Ports

Oleh Yusoff A. Shariff

PERKHIDMATAN feri Pulau Pinang kerugian kira-kira RM14 juta setahun disebabkan kekurangan subsidi kerajaan untuk jenis minyak yang digunakan, di samping kos penyelenggaraan dan insurans.

Pengerusi jawatankuasa infrastruktur Pulau Pinang Zairil Khir Johari memberitahu sidang Dewan Negeri hari ini bahawa selain harga diesel tanpa subsidi yang tinggi, setiap feri memerlukan lebih RM2 juta setahun untuk penyelenggaraan dan insurans.

Menjawab soalan Teh Lai Heng (PH-Komtar), beliau berkata walaupun perkhidmatan feri mengangkut hampir 1.76 juta penumpang dan lebih 615,000 kenderaan dua roda dari bulan Januari hingga Oktober tahun ini, namun kutipan tambang hanya lebih sedikit daripada satu perempat kos perjalanan.

Sebelum ini Teh meminta statistik penggunaan feri dan sama ada pihak pengusaha mengalami kerugian.

Tiket bagi setiap perjalanan berharga RM2 untuk pejalan kaki dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak. Pengguna yang menaiki basikal membayar RM2 manakala yang menaiki motosikal pula membayar RM2.50.

“Tambang ini hanya cukup untuk membayar balik 35% kos operasi feri, kata Zairil.

Selain itu, Zairil juga berkata kerajaan negeri akan cuba membetulkan ketidaksepadanan antara perkhidmatan feri dan perkhidmatan tren ETS sebelum subuh dan lewat malam KTMB.

Beliau berkata pihak negeri akan mempertimbang untuk melaraskan masa perjalanan feri pada pukul 5.15 pagi, 6.30 pagi dan 12.20 pagi.

-BTS Media

Leave a Comment