PRESIDEN Amerika Syarikat Joe Biden berkata waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ke atas perdana menteri Israel Benjamin Netanyahu keterlaluan.
Dalam satu kenyataan pada hari Khamis, beliau berkata tiada persamaan antara Israel dan Hamas.
Beliau berkata demikian selepas ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas menteri pertahanan Israel Yoav Gallant kerana melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Biden berkata Amerika Syarikat akan sentiasa berdiri bersama Israel menentang “ancaman” terhadap keselamatannya.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS melahirkan kebimbangan kononnya pihak ICC tergesa-gesa mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu, dan mendakwa mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa ke atas perkara berkenaan.
Bakal penasihat keselamatan negara AS, Mike Waltz bagi pentadbiran Donald Trump yang akan menggantikan Biden turut mempertahankan Israel dan menjanjikan “tindak balas yang kuat pada bulan Januari nanti terhadap apa yang dianggapnya sebagai pendirian diskriminasi ICC dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“ICC tidak mempunyai kredibiliti dan dakwaan ini disangkal oleh kerajaan AS,” kata Waltz di platform media sosial X.
Komennya mencerminkan kemarahan dalam kalangan puak Republikan di AS, dengan beberapa suara sumbang menyeru agar Senat AS mengenakan sekatan terhadap ICC.
Dengan penguatkuasaan waran tangkap ke atas Netanyahu, kesemua 124 negara ahli mahkamah tersebut bersetuju bahawa Netanyahu wajib ditangkap.
Mahkamah yang berpangkalan di Hague, Belanda itu pada hari Khamis berkata waran tangkap dikeluarkan terhadap Netanyahu dan Gallant kerana melakukan jenayah kemanusiaan dan jenayah perang sejak 8 Okt 2023 hingga 20 Mei 2024.
-BTS Media