GAMBAR: Malay Mail.
PIHAK pendakwaan hari ini menarik balik pertuduhan terhadap Allahyarham Tun Daim Zainuddin susulan kematiannya.
Menurut Free Malaysia Today, timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa pertuduhan Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan diteruskan lagi.
“Kami ingin mengucapkan takziah,” kata Wan Shaharuddin.
Bekas menteri kewangan itu meninggal dunia pada 13 Nov.
Pada 29 Januari, Daim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis pengisytiharan hartanya, termasuk pemilikan beberapa kenderaan, syarikat dan hartanah di seluruh Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan , Perak, dan Kedah.
Isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, 66, juga didakwa atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan harta, termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Semalam, Na’imah meminta pihak berkuasa supaya tidak menggugurkan pertuduhan terhadap Daim selepas kematiannya. Beliau berkata perbicaraan perlu diteruskan untuk memberikan kejelasan berhubung dakwaan terhadapnya, yang menurutnya bermotifkan politik dan semberono.
-BTS Media