BTS Media

Kumpulan wartawan bantah syor kerajaan nak lesenkan media digital

KUMPULAN hak media bimbang dengan cadangan Putrajaya untuk meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, termasuk mengenakan lesen terhadap media digital.

Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam hasrat kerajaan itu, menyifatkannya sebagai satu lagi bentuk sekatan terhadap kebebasan media.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, pindaan oleh Kementerian Dalam Negeri termasuk mengembalikan keperluan pembaharuan lesen (setiap tiga tahun) dan memperluaskan definisi penerbitan untuk merangkumi kandungan digital dan elektronik.

“Ini menimbulkan kebimbangan tentang bagaimana platform dalam talian dan kandungan yang dihasilkan pengguna akan dipantau dan dikawal,” kata tiga organisasi ini pada satu kenyataan bersama selepas program “Media Solidarity Festival: By the Media for the Media” di Kuala Lumpur hari ini.

Pada Mei 2024, pihak berkepentingan kerajaan mengadakan perbincangan dengan pemain industri media mengenai pindaan undang-undang kontroversi itu dan sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan kawalan sedia ada agar merangkumi kandungan dalam media digital.

Menurut laporan Kementerian Dalam Negeri mengenai sesi konsultasi awam bulan lalu berkaitan cadangan pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA), perbincangan mencatatkan industri penerbitan berkembang selaras dengan kemajuan teknologi.

Sejak mengambil alih kuasa, pentadbiran Madani mendapat sorotan susulan Malaysia jatuh 34 tangga ke kedudukan ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 oleh Reporters Without Borders (RSF), berbanding tempat ke-73 tahun lalu.

Buat kali pertama dalam tiga tahun, Malaysia tidak lagi berada di tangga teratas dalam kalangan negara Asean manakala Thailand berada di kedudukan ke-87.

Selain mengenakan lesen, kumpulan itu turut berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan kesalahan jenayah dan memperkenalkan hukuman yang lebih berat.

Mengulas lanjut, kumpulan hak media berkenaan mendesak Kementerian Dalam Negeri memberikan penjelasan mengenai situasi sebenar berkaitan cadangan pindaan ini.

“Ini saat penting untuk kerajaan Madani menunjukkan komitmennya terhadap reformasi.

“Tidak sepatutnya ada cubaan untuk melemahkan kebebasan media, terutama apabila kerajaan merancang untuk membentangkan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia,” tambah mereka.

Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/726152

Leave a Comment