ALUMNI Masscom (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media) Universiti Teknologi MARA (UiTM) membantah keputusan universiti itu meletakkan fakulti itu bersama Fakulti Sains Komputer dan Matematik.
Dalam satu kenyataan pada Rabu (5 Okt), alumni tersebut berkata, mereka menyambut baik dialog dengan pihak UiTM sebelum sebarang keputusan dibuat.
Presiden alumni, Basree Rakijan berkata adalah penting difahami keperluan memelihara imej dan penjenamaan fakulti berusia lima dekad itu.
“Pelajar komunikasi massa wajib dilatih kemahiran yang diamalkan melalui media seperti akhbar, majalah, radio, televisyen, filem, media sosial dan Internet.
“Platform ini memerlukan kemahiran berfikir dan analitikal, kreativiti dan kepakaran dalam penciptaan kandungan. Mata pelajaran yang patut diberi penekanan antara lain ialah berkaitan sains sosial dan kemanusiaan,” katanya.
“Dalam persekitaran di mana maklumat salah semakin berleluasa, maka adalah penting untuk melengkapkan pelajar untuk menjadi komunikator yang cekap.
“Sementara pengajian komputer dan maklumat sangat bermanfaat, namun subjek teknikal ini hanyalah pemboleh kepada penciptaan kandungan.
“Lebih-lebih lagi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pengamal media telah menerima penggunaannya,” tambahnya.
Penggabungan itu diumumkan oleh Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor pada sambutan ulang tahun ke-50 fakulti itu baru-baru ini sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula universiti dan langkah penjimatan kos.
Dengan penggabungan itu fakulti akan dikenali sebagai Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media.
-BTS Media