PUSAT Kewartawanan Bebas (CIJ) menggesa kerajaan berhenti mengganggu media, termasuk untuk tidak mengarahkan media mendedahkan sumber berita.
Menurut CIJ, melindungi sumber berita adalah prinsip yang diperakui seluruh dunia dan menggunakan “undang-undang lapuk dan menekan” untuk memaksa media mendedahkan sumbernya boleh menghalang mana-mana pihak untuk memberi maklumat dan menyebabkan wartawan melakukan tapisan kendiri.
“Kami mengingatkan kerajaan Madani dan (Menteri Komunikasi) Fahmi Fadzil berkenaan komitmen mereka sebelum ini terhadap media yang bebas dan terbuka, terutama dalam meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Menggunakan undang-undang ini untuk mengganggu dan menakut-nakutkan wartawan jelas bertentangan dengan prinsip yang diperakui antarabangsa,” kata CIJ dalam X semalam.
Badan pemantau media itu merujuk siasatan polis terhadap laporan Malaysiakini berhubung rancangan rombakan kepimpinan tertinggi polis di Bukit Aman, serta kenyataan Fahmi yang media perlu memberi kerjasama dalam siasatan polis.
Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata laporan itu “tidak benar” kerana tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berkenaan perkara itu.
“PDRM telah menghubungi pihak portal berkenaan, namun mereka enggan mendedahkan identiti sumber yang dinyatakan di dalam laporan berita itu.
“PDRM menasihatkan semua pihak agar tidak memetik sebarang sumber yang tidak rasmi, terutama melibatkan pasukan keselamatan dan agensi kerajaan,” katanya.
Polis menyiasat laporan itu mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Perlu majlis media
CIJ berkata isu tersebut menunjukkan keperluan sebuah majlis media ditubuhkan.
“Inilah sebabnya Malaysia memerlukan majlis media yang bebas dan melibatkan pelbagai pemegang taruh untuk menyelesaikan pertikaian yang timbul dan menamatkan pemusatan kuasa dari pihak kerajaan sebagai penentu tunggal,” katanya lagi.
Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/714773