BTS Media

Ketua Pemuda UMNO diingatkan siapa pengerusi Khazanah yang memutuskan melabur dalam Fashion Valet

KETUA Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh diingatkan siapa pengerusi Khazanah Nasional yang membuat keputusan untuk melabur dalam Fashion Valet.

Soalan ini diajukan kepada beliau oleh Pemimpin PKR Najwan Halimi.

Ia susulan kritikan Akmal terhadap bekas ahli parlimen DAP, Tony Pua, yang mengatakan adalah luar biasa bagi penggunaan dana awam begitu besar dalam syarikat yang mengalami kerugian lima tahun berturut-turut seperti FashionValet.

“Mungkin Dr Akmal lupa siapa pengerusi Khazanah tatkala jumlah dana awam yang luar biasa diberikan kepada syarikat Fashion Valet bermula Mac 2018,” kata Najwan melalui kenyataan kepada Malaysiakini.

Khazanah setakat bulan Mac 2018 ialah Najib Razak, yang merupakan perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu.

Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) secara bersama telah melabur RM47 juta dalam FashionValet.

Bagaimanapun, minggu lalu kedua-dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu telah menjual pegangan dalam syarikat tersebut pada tahun 2023 berikutan kemerosotan nilai sahamnya hampir RM44 juta.

Susulan itu, Akmal yang juga merupakan penyokong tegar Najib telah menggesa ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kerugian FashionValet.

Bagi Pua, yang menggambarkan kerugian FashionValet sebagai risiko biasa dalam pelaburan modal teroka, turut menggelar Akmal sebagai ‘pelawak’ kerana meminta penubuhan RCI.

Menerusi Facebook hari ini, ketua Pemuda Umno itu membalas dengan menggelar Pua “bodoh.”

Sementara itu, Najwan, yang juga exco Belia, Sukan, dan Keusahawanan Selangor berkata semua pihak mahukan ketelusan dalam hal ini dan tidak perlu ada perbuatan hina-menghina.

“Kita semua mahu ketelusan dan sewajarnya ditunggu hasil siasatan yang sedang dijalankan terkait isu kerugian Fashion Valet yang melibatkan dana awam.

“Cuma saya fikir tak perlu terlalu sinikal hingga ke tahap meremeh dan menghina pihak lain dengan label bodoh dan sebagainya,” katanya.

Selepas kerugian Fashion Valet didedahkan, pengasas bersama, Vivy Yusof dan suaminya, Fadzaruddin Shah Anuar, telah meletakkan jawatan daripada syarikat itu.

Fashion Valet kini sedang disiasat oleh SPRM berhubung kerugian tersebu.

-BTS Media

Leave a Comment