BTS Media

ATM siasat satu lagi kes kadet dibuli senior di UPNM

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menyiasat kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Sungai Besi yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh seorang penuntut senior.

ATM dalam kenyataan malam tadi mengesahkan kejadian itu melibatkan pelajar kadet yang dibuli oleh seniornya menggunakan seterika yang ditekap pada dada sehingga meninggalkan kesan lecur.

Menurut kenyataan itu kes berkenaan sedang disiasat di peringkat Akademi Latihan Ketenteraan UPNM.

“ATM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kes tersebut.

“Tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah,” katanya.

ATM juga menggesa masyarakat memberi ruang kepada mereka untuk menyiasat perkara tersebut secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.

Selain itu, ATM menyeru masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

“Segala perkembangan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” katanya.

Difahamkan perbuatan itu terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih yang bertugas ketika itu apabila menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Sebelum ini negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, yang menjadi mangsa buli, pukul dan seksa.

Arwah meninggal dunia dengan hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.

Susulan kes yang berlaku pada 2017 itu, enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lepas selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan.

– Bernama

Leave a Comment