JOHOR akan menukar kembali hujung minggu di negeri itu kepada hari Sabtu dan Ahad daripada hujung minggu hari Jumaat dan Sabtu.
Dalam satu kenyataan pada hari Isnin (7 Okt), Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata hujung minggu akan ditukar semula ke hari Sabtu dan Ahad bermula bulan Januari tahun depan.
“Selepas mendapat perkenan dan restu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Baginda telah memutuskan supaya Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Mufti Johor membincangkan dan mengkaji perkara itu secara menyeluruh.
“Saya berharap agar semua syarikat swasta, kerajaan serta pihak berkaitan akan memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk para pekerja Muslim menunaikan Solat Jumaat pada waktunya,” tambah baginda.
Johor menukar hujung minggunya ke hari Jumaat dan Sabtu mulai 1 Jan untuk menghormati hari Jumaat dalam kalangan umat Islam.
Perubahan itu sebenarnya merupakan pengembalian kepada hujung minggu asal negeri itu yang berkuat kuasa semasa zamannya sebagai Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
-BTS Media